arena

'Beri peluang pemain muda kembang bakat'

Oleh Devinder Singh

Kuala Lumpur: Kejayaan Kedah memupuk juara remaja skuasy perlu dicontohi negeri lain dengan meluaskan pencarian bakat ke kawasan di luar bandar.

Juara dunia lapan kali Datuk Nicol David menekankan, sukan secara amnya perlu melebarkan pembangunan bakat yang kini hanya tertumpu di lokasi sekitar bandar.

Pemain hasil program pembangunan Kedah seperti S Sivasangari, Aifa Azman (gambar), Aira Azman dan K Sehveetrraa, memenangi empat kejuaraan dirangkul Malaysia di Terbuka Remaja British bulan lalu.

“Bakat baharu boleh ditemui di serata tempat tetapi anda perlu memberikan mereka peluang dan sokongan,” kata juara remaja dunia sebanyak dua kali, Nicol, 34, yang berasal dari Pulau Pinang.

“Anda akan kehilangannya apabila hanya tertumpu di kota-kota, jadi untuk meluaskan pembangunan di kawasan-kawasan lain anda perlu meletakkan jurulatih di sana. Ia akan memberikan perbezaan ketara,” kata Nicol.

“Kita mempunyai banyak kejohanan peringkat remaja di negara ini yang dianjurkan oleh SportExcel dan Yayasan CIMB, gabungan kejohanan ini membentuk daya saingan tinggi dalam kalangan pemain remaja.

“Mereka dapat mengembara dan bersaing, serta dapat melihat ruang untuk menjadi lebih baik. Ia membantu mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.”

Selain kejohanan SportExcel dan Kejohanan Remaja Kebangsaan CIMB, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) turut menganjurkan kejohanan serantau membabitkan sekolah di lapan daerah di bawah program bersama Kementerian Pendidikan.

Sekolah ini dilengkapi tiga gelanggang skuasy dan jurulatih dan terletak di kawasan luar bandar seperti Miri, Setiu dan Sungai Petani, dengan 20 hingga 30 pemain yang aktif di setiap sekolah.

Sekolah terbabit adalah SK Seri Indera, Kangar (Perlis), SMK Seri Pagi, Senawang (Negeri Sembilan), SMK Datuk Haji Ahmad Badawi (Pulau Pinang), SMK TPP Tengku Muhammad, Kuantan (Pahang), SK Jalan Bintang, Miri (Sarawak), SMK Bukit Nenas, Setiu (Terengganu), SMK Tunku Ismail, Sg Petani (Kedah) dan SMK Jelapang Jaya, Ipoh (Perak).

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 9:46am
d