arena

Jang raih tonik berharga

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Jorg Steinebrunner percaya kemenangan ke atas Kuala Lumpur 2-0 kelmarin, mampu menjadi tonik terbaik buat skuad kendaliannya mengharungi kancah Liga Super musim ini.

Menurut jurulatih kelahiran Jerman terbabit, kemenangan di laman sendiri itu melegakannya selepas skuad Hobin Jang Hobin bangkit memperagakan aksi lebih baik selepas tumpas dalam aksi pembukaan kepada PKNP FC 1-0, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Steinebrunner yang bertindak selaku pengarah teknikal musim lalu tidak mahu anak buahnya cepat puas hati, sebaliknya kekal fokus memburu kemenangan.

“Sememangnya kami turun dengan misi 100 peratus untuk mendapatkan kemenangan dan pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana berjaya merealisasikan sasaran itu.

“Semua bahagian dilihat berfungsi dengan baik dan pemain juga beraksi dengan penuh semangat serta melaksanakan tugas dengan cemerlang.

“Persembahan Nicolas (Velez) juga dilihat lebih bagus apabila dia berjaya memanfaatkan kedua-dua peluang,” katanya.

Velez, 27, penyerang import dari Argentina muncul wira apabila membantu kemenangan skuad Hobin Jang Hobin selepas meledak kedua-dua gol pada minit ke-11 dan ke-31.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Marciel mengakui kesilapan anak buahnya terutama bahagian pertahanan membawa padah.

“Kesilapan walaupun kecil adalah musuh dalam permainan dan ia perlu diatasi segera untuk memastikan pasukan tidak terus kalah. Saya mempunyai kira-kira 72 jam membuat persiapan bagi perlawanan menentang Johor Darul Ta[zim (JDT), Sabtu ini (esok),” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 9:55am
d