arena

Ayew bidas kritikan Henry

Oleh AFP

LONDON: Penyerang Swansea dari Ghana Andre Ayew membalas kritikan bekas pengarah pengambilan pemain West Ham Tony Henry kerana mempersoalkan sikap pemain Afrika.

Henry dipecat kelab London itu berikutan penyiasatan berhubung laporan akhbar Daily Mail bahawa Henry berkata West Ham mahu mengehadkan pengambilan pemain Afrika di kelab itu kerana ‘mereka mempunyai sikap yang teruk’ dan ‘mencetuskan kekacauan’ apabila tidak disenaraikan dalam pasukan.

“Apa yang saya tahu kami pemain Afrika bangga dengan diri kami, kami sedar dari mana kami datang dan yakin dengan bola sepak,” kata Ayew yang meninggalkan West Ham untuk kembali bersama Swansea dengan kontrak bernilai £18 juta (RM98.4 juta) minggu lalu.

“Pemain Afrika seperti Didier Drogba bermain dengan kelab terhebat dunia dan melaksanakan tugas mereka.

“Banyak yang kami lakukan untuk beraksi di liga bola sepak profesional dan pemain Afrika turut mewakili Barcelona, Real Madrid dan Chelsea.

“Satu penghormatan untuk menjadi seorang Afrika. Saya bangga dan gembira dan tidak akan mengubahnya untuk apa pun.”

Pemain tengah West Ham dari Senegal Cheikhou Kouyate menulis mesej "Bangga menjadi bangsa Afrika" di akaun Instagramnya sehari selepas komen Henry diketahui umum.

Ayew berharap dapat kembali berdepan Burnley malam esok selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

Malah dia berharap dapat menemui kembali sentuhannya ketika menjaringkan 12 gol pada musim terdahulu bersama Swansea pada 2015/16 untuk membantu kelab Wales itu kekal di Liga Perdana.

“Ia bukan keputusan yang sukar. Saya melihat pilihan lain tetapi saya rasa tugas saya di sini belum selesai,” kata Ayew yang akan kembali bersama adiknya yang juga bekas rakan sepasukannya di Marseille Jordan kali ini.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 9:59am
d