arena

Syahmi balas kepercayaan jurulatih

Oleh Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: “Jangan fikir awak lama sudah tidak bermain, fikirkan apa sumbangan terbaik awak boleh berikan malam ini (malam kelmarin),” kata pembantu jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir.

Itulah kata-kata semangat yang dilontarkan barisan kejurulatihan kepada pemain muda mereka, Syahmi Safari yang diturunkan buat kali pertama musim ini pada aksi bertemu Melaka United (MU) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, kelmarin.

Nyata percaturan P Maniam untuk terus memberi kepercayaan kepada pemain muda dan meletakkan Syahmi di posisi sayap kanan berbanding posisi sayap pertahanan seperti musim lalu mencetus impak apabila pemain Skuad Bawah 23 tahun (B-23) meledak dua gol sekali gus membantu The Red Giants menang 4-1 ke atas pasukan pelawat.

“Meskipun Selangor dibarisi pemain muda, kami sentiasa memberi persaingan dan mengingatkan bahawa tiada jaminan untuk mereka terus beraksi dalam kesebelasan utama.

“Semuanya bergantung kepada prestasi semasa dan ketika sesi latihan. Malah sebelum perlawanan, kami menitipkan kata-kata semangat kepada Syahmi dan kita dapat lihat dia membuktikan kemampuannya malam ini,” katanya pada sidang media, kelmarin.

Mengulas lanjut kemenangan besar pada aksi terbabit, Muhammad Nazliazmi melontarkan pujian kepada barisan pemainnya yang tampil dengan persembahan lebih kemas dan berjaya memanfaatkan peluang yang terhidang.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 10:02am
d