arena

Kim Swee tabik Kumar pergi Jepun

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee memuji sikap pemain muda, M Kavishkumar yang berani mencuba nasib menyertai kelab Jepun, Tokai FC.

Beliau berkata, kesungguhan Kumar itu sesuatu yang wajar dicontohi pemain muda lain untuk menimba pengalaman di luar negara.

“Ini satu perkembangan yang baik untuk pemain muda mencari kelab di luar untuk menimba pengalaman. Biarpun bukan bersama kelab ternama tapi kita tahu sistem bola sepak di Jepun antara terbaik di Asia.

“Kita mahukan lebih ramai pemain ke luar negara dan tidak hanya berasa selesa di negara sendiri,” katanya ketika menjadi tetamu Program Kapsul Liga Malaysia (Liga M) di Balai Berita NSTP, hari ini.

Kumar, 21, mengikat kontrak setahun dengan kelab Liga Prefektur Jepun (JPL) yang berstatus semi-pro di Nagoya, selepas berjaya dalam sesi percubaan hujung tahun lalu.

Pemain berasal dari Cheras dan bermain dengan kelab Victoria Institution FC sebelum ini turut ditawarkan tempat dalam skuad Piala Presiden Kuala Lumpur dan dipanggil bagi sesi percubaan dengan FELDA United namun tetap memilih ke Jepun.

Berdasarkan usianya yang masih muda dan layak beraksi dalam pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 tahun depan, Kim Swee memberi jaminan memantau perkembangan Kumar dan pemain lain.

“Saya belum mengetahui sejauh mana kemampuan Kumar tapi akan cuba menilai prestasinya. Ketika ini kami sedang mengumpul data pemain B-21 sebelum dipanggil untuk menyertai latihan pusat.

“Saya masih terbuka dalam pemilihan pemain ke pusingan kelayakan itu dan Sukan Asia di Indonesia nanti. Saya akan memilih pemain terbaik ke kejohanan ini,” katanya.

Ketika ini, pemain B-23 Johor Darul Ta’zim (JDT), Dominic Tan dan Syamer Kutty Abba kini berada di kelab Portugal, Vilaverdensen FC sebagai pemain pinjaman.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 8:32pm
d