arena

Ikut merit kita layak Piala Thomas

Oleh Ferzalfie Fauzi

SKUAD badminton lelaki negara berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia dan layak secara merit ke Piala Thomas di Bangkok, Mei depan apabila menumpaskan Hong Kong 3-0 di Stadium Sultan Abdul Halim hari ini.

Ia membaiki pencapaian berbanding edisi sulung dua tahun lalu di Hyderabad, India apabila mereka tersekat di suku akhir.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei berasa gembira dengan prestasinya hari ini kerana menjadi pembakar semangat buat rakan sepasukan apabila menyumbang mata pertama.

“Memang jika tengok kedudukan mata hari ini saya berdepan tentangan sengit dari lawan, tapi paling penting adalah menang,” katanya yang berjaya menumpaskan perseorangan pertama Hong Kong, Ng Ka Long 21-15, 21-16.

Ujarnya, dia tidak kisah sama ada akan diturunkan atau tidak bergantung kepada perbincangan antara jurulatih dan pengurus pasukan.

“Mungkin mereka akan melihat situasi, memberi peluang kepada pemain muda untuk membuktikan keupayaan. Mereka boleh membuktikan keupayaan mereka di sini selain ketika dalam latihan menjelang aksi sebenar Piala Thomas,” katanya.

Beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga tidak berdepan masalah untuk meraih mata apabila menang 21-11, 21-16 ke atas Or Chin Chung-Tang Chun Man.

“Permainan kami hari ini amat sempurna dan berjaya memberikan rentak terbaik. Kami memang gembira kerana berjaya menyumbang mata,” kata Wee Kiong.

Perseorangan lelaki kedua negara, Lee Zii Jia berada di kelas tersendiri di negeri kelahirannya apabila tidak tertekan untuk mengesahkan kemenangan Malaysia apabila menang 21-16, 21-15 ke atas Vincent Wong.

“Saya rasa gembira dan bangga dapat kutip mata ketiga seterusnya membantu Malaysia ke separuh akhir. Seperti Datuk Seri Norza Zakaria (Presiden Persatuan Badminton Malaysia) menasihati saya sebelum ini supaya jangan takut, main seperti tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan.

“Mengenai strategi, taktik dan tukar permainan mungkin saya akan bincangkan dengan jurulatih kerana setakat ini semua aksi saya menggunakan corak permainan yang sama,” kata Zii Jia.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 9:03pm
d