arena

Norhasmat sambar emas ACC

Oleh Haika Khazi

BIARPUN berlumba secara bersendirian namun ia bukan penghalang buat Norhasmat Abdul Aziz mengharumkan nama negara selepas meraih pingat emas dalam acara lebuh raya masters (40-44 tahun) pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Nay Pyi Taw, Myanmar, sebentar tadi.

Norhasmat muncul juara selepas menamatkan perlumbaan sejauh 34 kilometer dengan masa 46 minit 54.382 saat mengatasi pelumba Iran, Sayed Mahdi Mirbagheri Firoozabadi yang ketinggalan 1:28.835s, manakala tempat ketiga pula dimenangi pelumba Mongolia, Purevsren Khuyagt (49:10.709).

Kemenangan itu membolehkan Norhasmat memperbaiki pretasinya yang menang perak dalam perlumbaan sama pada 2017, sekali gus melunaskan dendamnya yang tewas di tangan Sayed Mehdi, sebelum ini.

Norhasmat ketika dihubungi menyatakan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), pasukan serta majikannya di Kementerian Kewangan kerana memberi cuti dua bulan mulai Disember lalu, untuk membuat persiapan rapi menghadapi ACC Myanmar.

Dia juga berterima kasih kepada pelumba Fauzan Lutfi dan jurulatih pasukan kebangsaan kerana banyak memberi tunjuk ajak kepadanya sepanjang latihan.

“Saya anggap kejayaan merangkul pingat emas ini satu bonus kerana pada mulanya saya hanya menyasarkan untuk mempertahankan pingat perak dimenangi tahun lalu.

“Kemenangan ini diharap dapat membakar semangat saya untuk terus berkayuh demi mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 11:20pm
d