arena

Bernardeschi, Higuain julang The Old Lady

Oleh AFP

FLORENCE: Federico Bernardeschi dan Gonzalo Higuain masing-masing menjaringkan gol ketika Juventus mara ke persada Serie A awal pagi tadi menerusi kemenangan 2-0 di Fiorentina yang dibayangi penggunaan video bantuan pengadil (VAR).

 

Keputusan memberikan penalti kepada Fiorentina selepas 21 minit apabila tangan pemain Juventus, Giorgio Chiellini menghalang hantaran lintang Marco Benassi bagaimanapun ditolak selepas melihat rakaman VAR.

 

Dan selepas menunggu tiga minit, pengadil Marco Guida sebaliknya membuat keputusan memberikan pelawat sepakan percuma kerana Benassi berada dalam keadaan ofsaid.

 

Emosi memuncak selepas rehat apabila pemain tengah Itali, Bernardeschi, yang meninggalkan kelab Tuscany itu untuk ke Turin musim panas lalu, menjaringkan gol ketika kembali ke Stadium Artemio Franchi buat pertama kali sebagai pemain Juventus.

 

Pemain berusia 23 tahun melencongkan bola menerusi sepakan percuma selepas 56 minit untuk jaringan keempat dalam Serie A buat Juventus seterusnya memecahkan kebuntuan. Bernardeschi kemudiannya dikeluarkan.

 

Higuain – penjaring hatrik minggu lalu – mengesahkan kemenangan berbaki empat minit dengan jaringan ke-14 Serie A musim ini dan ke-50 buat Juventus.

 

Ia adalah kemenangan penting buat juara bertahan, Juventus yang kini mengumpul 62 mata daripada 24 perlawanan – dua mata di depan Napoli – yang boleh kembali ke kedudukan teratas apabila berdepan Lazio awal pagi esok.

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 7:27am
d