arena

Keita pamer aksi mantap

Oleh AFP

BERLIN: Naby Keita membantu RB Leipzig menewaskan Augsburg 2-0 awal pagi tadi dalam saingan Bundesliga ketika dia meledak jaringan pada babak kedua menerusi sepakan percuma.

 

Pendahulu, Bayern Munich kekal 15 mata di depan ketika mereka menanti kehadiran Schalke 04 awal pagi esok manakala Bayer Leverkusen boleh menyamakan kedudukan 38 mata dengan Leipzig jika menewaskan Hertha Berlin.

 

Jaringan pembukaan hadir ketika kelam kabut di depan pintu gol dengan Timo Werner dan Yussuf Poulsen menyaksikan sepakan dihalang sebelum Dayot Upamecano akhirnya meledak jaringan pertama pada minit ke-20.

 

Sepakan percuma Keita pada minit ke-70 menamatkan usaha Augsburg.

 

“Kami sangat bagus ketika menyerang dan bertahan serta jarang memberikan mereka peluang. Ia adalah kemenangan yang mampu meningkatkan kami,” kata pemain Leipzig, Lukas Klostermann menerusi Twitter selepas perlawanan.

 

Tuan rumah hampir menambah kelebihan mereka pada lewat permainan apabila sepakan Kevin Kampl terkena palang ketika skuad kendalian Ralph Hasenhüttl meraih tiga mata di gelanggang mereka, Red Bull Arena.

 

 

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 7:35am
d