arena

Serena kembali, fokus latihan

Oleh AFP

ASHVILLE (Amerika Syarikat): Serena Williams (gambar) menjelaskan mengenai “turun naik” dihadapinya ketika dia berehat setahun daripada tenis kompetitif namun kini menegaskan dia fokus dan bersedia sekali lagi mendominasi sukan itu.

 

Bercakap menjelang kehadiran semulanya pada Piala Fed dekat Asheville, Carolina Utara, ketika Amerika Syarikat (AS) akan mempertahankan mahkota kejuaraan menentang pasukan Belanda, pemain berusia 36 tahun itu berkata dia kembali dengan wajah baharu selepas melahirkan anak perempuan, Alexis Olympia pada September.

 

“Ada banyak turun naik dalam latihan,” kata Williams kepada wartawan. “Ia juga memberikan saya pandangan lain, ia memberikan saya rehat kerana tiada apa yang perlu saya buktikan. Sekali lagi, hanya bertarung mengatasi semua ramalan di sana sekali lagi, untuk bersaing sekali lagi.”

 

Sebahagian daripada pergelutan itu dilihat ketika perlawanan pertunjukan di Abu Dhabi pada Disember apabila dia tewas kepada juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko.

 

Williams tewas straight set dan tampak perlahan walaupun dia banyak melakukan pukulan bagus.

 

Sebenarnya dia mensasarkan untuk kembali pada Terbuka Australia bulan lalu untuk mempertahankan mahkota dimenangi pada 2017 namun membatalkannya apabila mengatakan dia “tidak berada di tahap dimahukan.”

 

Mungkin bimbang menyasarkan sesuatu yang luar biasa, Williams enggan dikaitkan sama ada dia sudah bersedia untuk kembali ke Grand Slam tahun ini – Terbuka Perancis, Wimbledon dan AS.

 

Buat masa ini, dia lebih senang apabila tidak dinamakan selaku pemain pertama atau kedua perseorangan AS dalam pasukan handal disertai kakaknya Venus, pemain nombor 17 dunia, CoCo Vandeweghe dan pemain nombor 62 dunia, Lauren Davis.

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 10:15am
d