arena

'Pemain juga perlu bertanggungjawab'

LONDON: Antonio Conte berkata semalam bahawa pemain Chelsea juga perlu dipersalahkan berikutan keputusan buruk kebelakangan ini tetapi sekali lagi menyuarakan komitmen untuk terus bersama penyandang gelaran Liga Perdana itu.

 

Pasukan bimbingan Conte kini berkedudukan keempat liga, melalui tempoh yang sukar apabila tewas 3-0 di laman sendiri kepada Bournemouth sebelum tewas 4-1 di tangan Watford.

 

Pengendali dari Itali yang kini semakin tertekan, meminta sokongan umum dalam tempoh berkenaan dan mengakui keyakinan pasukannya rendah menjelang pertemuan dengan pasukan bawahan, West Brom awal pagi Selasa ini dan menyedari pasukannya perlu meningkat.

 

“Saya tidak hanya memikirkan untuk seketika mengenai kemungkinan meninggalkan kelab ini. Saya ulangi, komitmen saya sepenuhnya untuk kelab ini, sama seperti pemain saya,” kata Conte pada sidang akhbar di pusat latihan Chelsea.

 

“Tetapi seperti yang anda tahu, kerana kita bercakap mengenai bola sepak, pada kebanyakan masa – saya tidak bersetuju dengan ini – jurulatih bergantung kepada keputusan. Kerana sebab ini, kami perlu memberi perhatian lebih.

 

“Apabila anda melalui tempoh ini dengan keputusan yang buruk, anda perlu membahagikan tanggungjawab antara saya, pemain dan kelab.”

 

Conte memberikan pemainnya rehat tiga hari selepas kekalahan Isnin lalu di Vicarage Road, ketika mereka melepaskan tiga gol pada penghujung perlawanan.

 

Dengan dua perlawanan Liga Juara-Juara menentang Barcelona hadir selepas ini selain dua kelab Manchester, Conte merasakan minggu ini adalah peluang jarang diberikan buat pemainnya bercuti.

 

“Saya rasa ini adalah saatnya dalam musim ini boleh memberikan mereka rehat. Saya rasa adalah sangat penting untuk cuba memberikan sedikit ruang, sedikit ruang dengan persekutuan (Persatuan Bolasepak England) untuk cuba memberikan rehat kepada pemain,” katanya. - AFP

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 10:21am
d