arena

Van Dijk tak kisah dikritik

Oleh AFP

SOUTHAMPTON (United Kingdom); Virgil Van Dijk menegaskan kritikan terhadap permulaan hidupnya selaku pertahanan termahal dunia tidak akan mengganggu persiapannya ketika kembali ke Southampton bersama Liverpool awal pagi Isnin ini.

 

Pemain antarabangsa Belanda itu berhijrah ke Anfield dengan nilai 75 juta pound (RM410.42 juta) pada Januari namun hanya sekali menang dalam empat penampilan bersama Liverpool.

 

Van Dijk memulakannya dengan bagus apabila menjaringkan gol kemenangan dalam pertembungan tetangga Merseyside berdepan Everton.

 

Bagaimanapun harapan dia segera membetulkan kelemahan pertahanan Jurgen Klopp tergugat selepas kekalahan berturut-turut ketika bertemu Swansea dan West Brom.

 

“Saya tahu kerana saya sudah memulakan langkah besar ketika ini, dengan jumlah wang yang besar, semuanya akan dianalisis,” kata Van Dijk.

“Tiada siapa yang akan melihat pada perkara baik anda lakukan. Semua orang akan melihat perkara buruk dan ia memang begitu. Tetapi saya akan membincangkannya dengan mereka yang mahu menjadikan saya lebih baik, ia adalah pengurus dan pemain sekitar saya.”

 

Sememangnya ada tanda kenapa Liverpool menanti bagi mendapatkannya pada Januari selepas usaha awal mendapatkan Van Dijk dilakukan musim panas lalu apabila pasukan  itu seri 2-2 berdepan Tottenham Hotspur.

 

Van Dijk berjaya mengawal penjaring terbanyak Liga Perdana, Harry Kane sehingga penghujung yang kelam kabut apabila Spurs diberikan dua penalti kontroversi - yang kedua kerana kesalahan dilakukan Van Dijk terhadap Erik Lamela pada penghujung perlawanan.

 

“Tiada siapa akan bercakap mengenai persembahan saya secara umum. Kami bertahan dengan sangat bagus, melalui dua penalti yang dikenakan terhadap kami dengan penuh persoalan, tetapi tiada siapa bercakap mengenainya,” kata Van Dijk.

 

“Tapi saya tahu, sebagai sebuah pasukan kami melakukan sesuatu yang sangat bagus berdepan rangkaian penyerang terbaik Eropah.”

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 10:48am
d