arena

Ibrahimovic hampir pulih

Oleh AFP

MANCHESTER (United Kingdom): Zlatan Ibrahimovic semakin hampir untuk kembali cergas ketika Manchester United mencari kekuatan bagi memperkukuh cengkaman di tangga kedua Liga Perdana Inggeris apabila berdepan Newcastle esok.

Bekas penyerang Paris Saint-Germain itu bergelut bagi mendapatkan prestasi terbaik sejak mengalami kecederaan lutut ketika menang dalam saingan Liga Europa mengatasi Anderlecht April lalu.

Dia membuat kemunculan semula ketika berdepan Newcastle di Old Trafford pada November apabila skuad kendalian Jose Mourinho menang 4-1, tetapi tidak bermain sejak Disember kerana masih bimbang dengan kecederaan lututnya.

“Zlatan mula berlatih dengan pasukan dua hari lalu,” kata Mourinho semalam. “Jadi dia sudah dua hari berlatih dengan pasukan dan sudah banyak meningkat.”

Mourinho pastinya perlu berhati-hati sebelum meletakkan pemain itu bagi aksi esok, walaupun skuadnya berada dalam keadaan bagus.

Pertahanan, Eric Bailly dan Daley Blind masing-masing dijangka akan kembali daripada kecederaan pergelangan kaki sebelum tamat bulan ini manakala pemain tengah Marouane Fellaini tidak akan bermain sehingga Mac kerana pembedahan lutut.

Kekalahan bulan lalu kepada Tottenham menjadi satu-satunya pengacau buat United pada 2018, dengan tiada gol dilepaskan dalam enam perlawanan liga dan perebutan piala setakat tahun ini, yang semuanya dimenangi pasukan itu.

Kemenangan 2-0 mengatasi Huddersfield minggu lalu yang menyaksikan pemain baharu dibeli, Alexis Sanchez menyerlah, membantu United mendekatkan diri dengan Manchester City, walaupun masih memiliki jurang 13 mata sebelum saingan hujung minggu ini.

Disiarkan pada: February 10, 2018 @ 1:01pm
d