arena

Durakovic akur tewas

Oleh Azizan Hashim

BEGITULAH kata pengendali Perak, Mehmet Durakovic mengenai kekalahan 0-2 skuad bimbingannya di tangan PKNS FC dalam saingan Liga Super di Stadium Lumut, malam tadi.

“Segala-galanya serba tidak kena buat kami. Gol lawan di minit awal perlawanan, satu percubaan terkena palang serta rentetan peluang yang diselamatkan penjaga gol mereka, cukup untuk menceritakan nasib kami pada perlawanan ini.

“Sebaliknya PKNS lebih bernasib kerana bola yang terkena palang singgah kepada pemainnya untuk membuat penyudah dan kemudian menjaringkan gol kedua dari gerakan tersusun,” katanya.

Mengulas lanjut, kekalahan Perak itu, Durakovic berkata walaupun pahit untuk ditelan tetapi pihaknya akur dengan kekalahan kepada lawan yang bermain penuh semangat itu.

“Saya bukan hendak berhelah tetapi pemain Perak menghadapi kesukaran selepas 10 hari berada di jalanan.

“Selepas Kuantan kami terus ke Alor Setar dan walaupun malam ini beraksi di gelanggang sendiri tetapi terpaksa buat perjalanan hampir 100 kilometer.

“Saya tidak boleh mengomel apa-apa kerana pemain sudah mencuba sedaya upaya tetapi apakan daya tidak berjaya” katanya.

Sementara jurulatih PKNS FC, K Rajagopal memuji setiap anak buahnya di atas kesungguhan dan komitmen hingga membuahkan kejayaan berkenaan.

Katanya, semua bermain dengan baik dan melaksanakan strategi serta perancangan dengan berkesan.

“Jaringan pada minit awal berjaya menyemarakkan keyakinan dan semangat pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 1:31pm
d