arena

Barca kecewa cicir mata

Oleh AFP

MADRID: Jaringan Luis Suarez yang dibatalkan, melengkapkan hari kecewa buat Barcelona apabila pendahulu La Liga itu tercicir mata buat minggu kedua berturut-turut selepas seri 0-0 dengan Getafe.

Selepas terpaksa mengharapkan gol penyamaan lewat permainan untuk mengutip satu mata dalam pertemuan tetangga Catalan di Espanyol hujung minggu lalu, Barca gagal menembusi benteng Getafe yang membuktikan mereka layak memegang rekod benteng ketiga paling ampuh dalam liga.

Suarez membolosi gawang Getafe hasil sepakan percuma Lionel Messi sejurus sebelum rehat, namun jaringan itu dibatalkan pengadil kerana dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Penyerang Uruguay itu kemudian menyaksikan tandukannya diselamatkan Vicente Guaita dalam masa kecederaan, dengan Barca gagal menjaringkan gol La Liga di laman sendiri buat pertama kali sejak November 2016.

Skuad kendalian Ernesto Valverde itu bagaimanapun masih belum tewas selepas 23 aksi La Liga, melebarkan rekod tanpa kalah sejak permulaan musim.

Kini mereka hanya tujuh mata mengatasi Atletico Madrid, yang meraih kemenangan 1-0 di Malaga Sabtu lalu hasil jaringan Antoine Griezmann. Skuad Rojiblancos itu akan bertandang ke Camp Nou dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Kami tidak suka seri di laman sendiri, tetapi itulah bola sepak. Lawan kami bertahan dengan baik dan kami gagal menjaringkan gol,” kata Valverde.

“Mungkin kami kurang menyerlah, tidak mustahil. Menghairankan apabila kami tidak dapat menjaringkan gol di sini di stadium kami.”

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 12:09pm
d