arena

Karamoh tamat kemarau Inter

Oleh AFP

MILAN: Bintang remaja Perancis Yann Karamoh meledak gol kemenangan Inter Milan untuk kembali ke tangga ketiga selepas mengatasi Bologna yang bermain sembilan orang, 2-1.

Eder membuka jaringan selepas tiga minit di San Siro tetapi bekas bintang Inter Milan Rodrigo Palacio menyamakan kedudukan pada minit ke-28.

Bagaimanapun Karamoh, 19, yang bermain dalam kesebelasan utama Serie A buat pertama kali, meledak gol kemenangan selepas minit ke-63 untuk memberikan tiga mata pertama buat skuad kendalian Luciano Spaletti sejak 3 Disember.

“Ia bukan mudah untuk mengharungi saat begini,” kata Spaletti yang skuad kendaliannya baru mengutip enam mata daripada lapan perlawanan terakhir.

“Kami memulakan musim ini dengan begitu baik dan mencatat deretan keputusan memberangsangkan. Jadi harapan terhadap kami begitu tinggi.

Bologna bermain sepuluh orang apabila Ibrahima Mbaye dibuang padang pada minit ke-68 selepas menerima kad kuning kedua, dan pertahanan Adam Masina juga dilayangkan kad merah dalam masa kecederaan kerana mengasari Lisandro Lopez.

“Hari ini kami bermain dengan baik. Kami mendahului permainan, berlaku kecuaian ketika gol penyamaan dan badi perlawanan lampau kembali menghantui kami,” kata pengendali Inter itu.

Kemenangan itu melonjak Inter ke tangga ketiga, satu mata mengatasi Roma yang menghuni tangga terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengatasi Benevento 5-2 di Stadium Olimpico.

Lazio tergelincir dari tangga ketiga ke tangga kelima selepas mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dengan kali ini 4-1 di tangan pendahulu liga, Napoli.

Napoli mengekalkan kelebihan satu mata ke atas juara bertahan, Juventus yang menewaskan Fiorentina 2-0 pada Jumaat, dengan Inter ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 1:48pm
d