arena

Leverkusen nanti Bayern di separuh akhir

Oleh AFP

BERLIN: Pendahulu Bundesliga Bayern Munich akan bertandang ke laman Bayer Leverkusen pada aksi separuh akhir Piala Jerman.

Bayern dalam pemburuan gelaran ke-19 kejohanan berkenaan tetapi terlebih dulu perlu merebut tempat ke final yang akan berlangsung di Stadium Olimpik Berlin pada 19 Mei.

Gergasi Bavaria itu menang 3-1 ke atas Leverkusen di BayArena dalam saingan Bundesliga bulan lalu, tetapi skuad kendalian Heiko Herrlich yang kini di tangga kelima liga, mampu menjadi penghalang impian Bayern.

“Pertama sekali saya amat gembira kami bermain di laman sendiri,” kata ketua pegawai eksekutif Leverkusen Michael Schade.

“Ia undian yang sukar, tetapi impian untuk mara ke final cukup besar dan kami mahu pergi ke Berlin.”

Bayern kendalian Jupp Heynckes mengharungi perjalanan sukar dalam saingan kali ini dan memerlukan penentuan penalti untuk menang di RB Leipzig pada pusingan kedua, sebelum menewaskan Borussia Dortmund dan membelasah kelab divisyen tiga Paderborn 6-0 pada aksi suku akhir Selasa lalu.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Schalke akan melayan kunjungan naib juara musim lalu Eintracht Frankfurt.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 2:16pm
d