arena

Dua pemain 'digantung'

Oleh Helmi Talkah dan Fabian Peter

sukanteam.nstp.com.my

 

 

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bukan seorang tetapi dua pemain profesional kini sedang disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas dakwaan mengatur perlawanan.

 Semalam, sukan badminton negara digemparkan dengan dakwaan seorang pemain profesional yang pernah beraksi dalam kejohanan Seluruh England dan Kejohanan Dunia sedang disiasat BWF kerana disyaki terbabit dengan skandal mengatur perlawan.

 Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan bukan seorang tetapi dua pemain profesional digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan kerana sedang disiasat BWF atas dakwaan mengatur perlawanan.

 “Ya, kami boleh mengesahkan perkara ini tetapi kes ini dikendalikan BWF. Apa yang kami boleh katakan, dua pemain profesional terbabit digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan.

 “Perkara ini pastinya mencemarkan reputasi badminton Malaysia dan BAM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemain terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan dan judi.

 “Saya sudah maklumkan kepada jurulatih mengenai perkara ini dan saya mahu mereka sampaikan kepada pemain,” kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

 Pengurus Besar BAM, Michelle Chai menambah badan induk itu tidak boleh mendedahkan nama dua pemain terbabit kerana ia hanya boleh dilakukan oleh BWF.

 “BWF menghantar surat kepada kami kerana kami adalah persatuan di bawah mereka dan mereka turut menghantar surat kepada kedua-dua pemain terbabit.

 “Secara dasarnya, kami hanya sebagai orang tengah untuk memberikan dokumen kepada pemain untuk mereka melantik wakil masing-masing.

 “Kami dimaklumkan mengenai penggantungan pemain terbabit dan proses yang akan berjalan selepas ini. Kami perlu berhati-hati dalam memastikan perkara ini kekal sulit.

 “Kami perlu pastikan mereka mendapat pembelaan yang adil. Di sebabkan siasatan dilakukan oleh BWF, mereka yang perlu membuat pengumuman,” kata Michelle yang memaklumkan dua surat dihantar BWF pada hujung tahun lalu.

 Sementara itu, Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund ketika dihubungi tidak mengiyakan atau menafikan mengenai siasatan yang dijalakan badan induk itu ke atas dua pemain profesional Malaysia sebaliknya enggan memberikan sebarang komen.

 Kes ini adalah yang pertama membabitkan pemain Malaysia yang didakwa terbabit dengan skandal mengatur perlawanan dalam siasatan BWF.

 Mengikut peraturan ditetapkan BWF, mana-mana pemain didapati bersalah terbabit dengan skandal mengatur perlawanan boleh dikenakan penggantungan seumur hidup.

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 6:07pm
d