arena

'Jaga-jaga pasukan lain...'

Oleh Aziman Rosdi

BUKAN hanya Kuantan FA malah beberapa lagi pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dalam bahaya untuk dikenakan tindakan tegas andai masalah tunggakan gaji tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh pendaftaran pasukan pada 31 Mac ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam yang menggesa agar semua pasukan melengkapkan segala dokumen andai insiden pasukan dikenakan hukuman pemotongan mata musim lalu tidak berulang.

“Untuk mendaftar pasukan, perlu dokumen yang lengkap termasuk pembayaran gaji, jika ada dokumen tak lengkap, bermaksud ada masalah di situ. Kita akan maklumkan kepada ahli lembaga pengarah (FMLLP) untuk buat keputusan jika ada pasukan yang gagal, setakat ini memang ada pasukan lain yang terlibat (tunggakan gaji) dan pasukan itu akan berdepan keputusan yang dilihat sebagai keras,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, enam bekas pemain Kuantan FA mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran daripada pihak pengurusan kelab Liga Perdana itu meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengarahkan untuk melangsaikan tunggakan gaji berjumlah RM145,250 pada 15 Januari lalu.

Berdasarkan laporan, Kuantan FA masih mempunyai 6 kes tunggakan gaji yang dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan 21 dengan FAM.

Beberapa pasukan lain termasuk daripada Liga Super seperti Kelantan, Pahang, PKNP FC, Perak, Melaka United dan PKNS FC juga masih mempunyai kes berkaitan tunggakan gaji, pampasan dan sebagainya yang masih lagi menunggu keputusan di pihak FIFA dan FAM.

Selain itu, Sarawak, Pulau Pinang dan FELCRA FC yang bertanding dalam Liga Perdana juga turut mempunyai kes dengan FIFA dan FAM.

Salah seorang bekas pemain Kuantan FA, Amirullah Abd Razab,28, sebelum ini mempertikaikan ketegasan FAM dan FMLLP dalam mengendalikan masalah tunggakan gaji ini namun Kevin berkata, pihaknya perlu mengkaji semua aspek demi kebaikan bersama.

“Adakah dengan menghalang Kuantan FA bertanding akan menjamin mereka mendapat semula bayaran gaji yang tertunggak itu? Sekurang-kurangnya bila kita benarkan pasukan terbabit menyertai liga, mereka akan ada rasa tanggungjawab untuk bayar kerana takut dikenakan hukuman.

“Kita akan beri ruang dan bantu mana-mana pasukan untuk selesaikan masalah itu tapi jika ia berlarutan, kita boleh ambil tindakan singkirkan pasukan terbabit, tapi kita tak boleh ambil tindakan ini sebagai langkah pertama,” jelas Kevin.

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 7:26pm
d