arena

Aravin raih gangsa

Oleh Mohd Khairie Khalid

ATLET negara, G Aravin Thevarr menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 200 meter (m) lelaki dengan catatan masa 21.67s pada Kejohanan Olahraga Jemputan Sukan Asia ke-18, Jakarta, Indonesia, hari ini.

    Pingat emas acara itu dimenangi Yang Chun-Han dari Taiwan dengan kepantasan 20.88s sementara perak milik Chan Ka Chun yang mewakili Hong Kong menerusi catatan 21.47s.

    Mengulas mengenai pencapaian berkenaan, jurulatih negara, M Balamurugan berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan berkenaan apatah lagi ia adalah kejohanan pertama anak buahnya musim ini.

    “Ini adalah kejohanan pertama Aravin tetapi saya berpuas hati dengan catatan masa miliknya kerana tahun ini juga dia turut memberikan tumpuan dalam acara 400m.

    “Aravin perlu lebih kuat berlatih sekiranya mahu layak dalam acara 200m di Sukan Komanwel ataupun Asia. Dia perlu berlatih di bawah catatan 20.5s,” kata Balamurugan ketika dihubungi, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, pemegang rekod baling tukul besi Sukan SEA, Jackie Wong Siew Cher memenangi pingat emas dengan balingan sejauh 64.96 meter (m).

    Dia mencatatkan balingan itu pada percubaan keempat, namun Jackie hanya beraksi seorang diri.

    Sementara itu, dalam acara lompat kijang wanita, atlet negara, Kirthana Ramasamy hanya menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas melakukan lompatan sejauh 12.79m pada aksi final.

    Emas milik Sheena Nellckal Varkey dari India (13.33m) manakala perak dan gangsa diraih Heenatimullage Dona Vidusha L serta Balasooriya Mudiyanselage dari Sri Lanka dengan catatan 13.28m dan 12.98m.

    Untuk rekod, seramai 16 atlet negara menggalas cabaran negara pada kejohanan berkenaan yang bermula pada Ahad lalu dan dijadual berakhir esok.

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 9:53pm
d