arena

Zidane 'cool' hadapi PSG

Oleh AFP

MADRID: Zinedine Zidane menegaskan dia tidak akan membiarkan dirinya terus tertekan ketika pasukannya Real Madrid bersedia bagi saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini menentang Paris Saint-Germain di Santiago Bernabeu.

“Saya sangat gembira. Kita semua hidup untuk menikmati saat ini. Saya tidak rasa tertekan disebabkan sesuatu,” kata Zidane ketika sidang akhbar di pangkalan latihan Real dekat Valdebebas, hari ini.

“Kami bersedia seperti yang kami selalu lakukan. Sudah pasti esok (Rabu) akan lebih tertekan berbanding biasa, tapi saya akan meraikannya. Saya tidak bimbangkan masa depan saya ketika ini.”

Zidane sedang melalui tempoh paling mencabar dalam karier pengurusan pendeknya, dengan Real kini berkedudukan keempat La Liga, jurang besar 17 mata di belakang pendahulu Barcelona walaupun memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Ia membawa kepada spekulasi bahawa masa depan pengurus itu akan berakhir di tangan skuad PSG dengan juara bertahan itu meletakkan semua harapan mereka dalam Liga Juara-Juara pada pertemuan pertama itu.

“Saya hanya cuba terus bekerja. Inilah yang saya suka lakukan,” kata Zidane yang sudah menang lapan trofi selaku jurulatih Real. “Tiada apa yang saya mahu tunjukkan.”

Pertembungan itu sesuatu yang istimewa buat jurulatih berasal dari Marseille itu apabila dia akan berdepan kelab dari Perancis buat kali pertama sejak dilantik selaku jurulatih Real pada Januari 2016.

Perlawanan kedua akan berlangsung di Paris pada 6 Mac.

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 10:41pm
d