arena

Spurs bangkit ikat Juventus

HARRY Kane dan Christian Eriksen membantu Tottenham Hotspur bangkit untuk mengikat Juventus 2-2 dalam aksi yang seolah-olah milik Gonzalo Higuain pada saingan pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara di sini, sebentar tadi.

Higuain menjaringkan dua gol dalam tempoh sembilan minit pertama untuk finalis kejohanan sebanyak dua kali dalam tempoh tiga musim itu, pada saingan berlangsung di Stadium Allianz.

Bintang Argentina itu meledak gol pertama hanya selepas 73 saat permainan berlangsung, disusuli jaringan kedua pada minit kesembilan menerusi penalti untuk meletakkan pasukan bimbingan Mauricio Pochettino dalam keadaan tertekan.

Namun pemain berusia 30 tahun itu terlepas dua peluang keemasan untuk mengukuhkan kedudukan Juventus di laman sendiri pada separuh masa, termasuk sepakan penalti kedua yang terkena palang.

Kane berjaya membantu Spurs kembali bangkit untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-35 dengan menyempurnakan umpanan Dele Alli, melepasi jangkauan penjaga gol Gianluigi Buffon.

Eriksen kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi sepakan percuma selepas pertahanan tengah tuan rumah, Giorgio Chiellini mengasari Alli. - AFP

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 7:34am
d