arena

'Persija bukan calang-calang'

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemburuan tiga mata menjadi taruhan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memulakan kempen Piala AFC apabila berdepan kelab dari Indonesia, Persija Jakarta pada aksi Kumpulan H di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Pengendali JDT, Ulisses Morais menegaskan aksi Piala AFC tampak lebih mencabar dan akan berusaha memastikan kemenangan memihak skuad Harimau Selatan yang beraksi di laman sendiri.

Katanya, Persija Jakarta bukan calang-calang pasukan yang memiliki kelebihan tersendiri dan mereka mampu menidakkan usaha untuk meraih kemenangan seandainya pemain JDT bersikap sambil lewa pada perlawanan itu.

“Kami menempuh jadual agak padat tatkala beraksi pada perlawanan kedua dalam tempoh tiga hari, sama seperti Persija yang menempuh dua perlawanan dan saya tetap membuat persiapan terbaik untuk aksi Piala AFC.

“Kami tidak akan menggunakan khidmat Gonzalo Cabrera memandangkan empat kuota import dibenarkan pada aksi Piala AFC, manakala status Marcos Antonio dapat diturunkan atau tidak bergantung kepada sesi latihan hari ini.

“Sudah tentu saya akan turunkan kesebelasan terbaik kerana kita tahu kelab dari Vietnam (Song Lam Nghe An FC) berjaya menewaskan kelab dari Singapura, Tampines Rovers 2-0 dan kami mahu menang untuk berada di kelompok teratas Kumpulan H,” katanya pada sidang media praperlawanan Piala AFC, di sini semalam.

Ditanya mengenai kekuatan skuad kendalian Stefano Cugurra, Morais berkata, barisan kejurulatihan JDT mengkaji rakaman video aksi pasukan itu yang tampak mengamalkan corak permainan pantas dan segala informasi mengenai kekuatan Persija dikongsi bersama pemain skuad Harimau Selatan.

Katanya, pemain harus fokus sepanjang 90 minit perlawanan tanpa membiarkan barisan pemain Persija menguasai perlawanan dan bertindak pantas untuk mencipta jaringan sekiranya berdepan peluang terhidang.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 9:02am
d