arena

Kasonde teruja kembali ke Sabah

Oleh Ryan Stanley

BEKAS pertahanan kebangsaan Zambia, Francis Kasonde gembira menyertai semula Sabah sambil menegaskan dia ada misi perlu disempurnakan dalam penampilan kali kedua bersama skuad Sang Badak musim ini.

Hadir sebagai pemain terakhir didaftarkan iaitu sehari sebelum tempoh pendaftaran tamat hujung minggu lalu, Kasonde mahu membalas kepercayaan pengurusan pasukan terutama pengendali Sabah, Jelius Ating.

“Saya gembira menyertai semula ‘keluarga’ ini. Sekarang kita boleh menyambung semula apa yang diperjuangkan sejak pertengahan musim lalu dan ternyata pasukan ini bermula dengan baik pada musim ini.

“Ia pasti sesuatu yang menarik dan mencabar untuk kami menghadapi musim ini. Terima kasih kepada Jelius dan pihak pengurusan kerana menjadikan perkara ini (menyertai semula Sabah),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kasonde berkata, dia tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan akan datang dan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi membantu pasukan itu terus mencatat kemenangan.

“Keadaan tidak banyak berbeza berbanding ketika saya menyertai pasukan ini pertengahan musim lalu. Yang berbeza hanyalah semangat pasukan ini. Ia semakin memuncak dan saya harap ini berterusan,” katanya.

Pemain berusia 32 tahun yang pernah membuat 35 penampilan bersama skuad kebangsaan Zambia itu beraksi bersama Sang Badak pada pertengahan musim lalu menggantikan Igor Cerina yang mengalami kecederaan.

Dia yang turut mencipta sejarah bersama skuad kebangsaannya menjulang Piala Negara-Negara Afrika pada tahun 2012 itu kemudian kembali dipanggil Jelius minggu lalu, juga menggantikan Cerina yang masih gagal pulih dari kecederaan.

Kemasukan Kasonde melengkapkan kuota empat pemain import Sabah selepas pasukan itu mengekalkan dua pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong serta membawa masuk penyerang Puerto Rico, Hector Omar Ramos Lebron.

Selepas tiga perlawanan, Sabah kini menduduki tangga kedua liga di belakang FELDA United dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan sekali seri.

Pasukan yang turut popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu akan menyambung saingan liga bertemu Sarawak di Stadium Likas pada 24 Februari ini.

Selain itu, Sabah bakal menghadapi laluan sukar dalam saingan Piala FA apabila diundi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas pada 3 Mac.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 12:08pm
d