arena

'Pilih hanya yang terbaik'

Oleh Syafiq Aznan

“TIDAK ada masalah kerana mereka tetap anak Malaysia!,” kata bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar.

Bekas penolong jurulatih Olimpik Moscow 1980 itu mengakui satu langkah yang wajar untuk skuad Harimau Malaya memanfaatkan kemampuan pemain berdarah campuran yang memiliki kelayakan untuk menyarung jersi negara sebagai satu usaha untuk memantapkan lagi barisan pemain negara.

Katanya, meskipun pemain berdarah campuran dilihat bukanlah pemain ‘berdarah sejati’ seperti pemain tempatan yang lahir di sini namun mereka tetap dianggap sebagai anak Malaysia memandangkan mereka memiliki pertalian darah dengan rakyat yang lahir di negara ini.

“Mengenai soal pemain berdarah campuran, itu bukanlah satu isu yang besar kerana secara dasarnya, mereka tetap anak Malaysia. Saya tidak setuju jika kita mengambil orang luar yang tiada sebarang kaitan dengan negara ini untuk beraksi mewakili Malaysia.

“Cuma saya mahu mengingatkan kepada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan bahawa mereka perlu memastikan pemain berdarah campuran ini bagus dan mampu memberi nilai tambah untuk membantu skuad kebangsaan menjadi lebih baik.

“Kalau setakat mahu mengisi tempat dalam skuad kebangsaan tetapi taraf permainan mereka pun lebih kurang sama dengan pemain tempatan, lebih baik kita beri peluang kepada pemain tempatan sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam masa sama, Mohamad Bakar turut menggesa barisan kejurulatihan supaya tidak begitu selesa dan hanya bergantung harap kepada kemampuan pemain berdarah campuran semata-mata.

“Walaupun kita memiliki pemain berdarah campuran yang bagus, kita tidak boleh mengabaikan pemain tempatan. Mereka tetap perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya memiliki cukup ramuan untuk menggegar saingan Piala AFF penghujung tahun ini sekiranya 10 pemain naturalisasi yang beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga-M) disenaraikan oleh pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Berdasarkan senario semasa liga tempatan, kejayaan beberapa pasukan mengesan pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia bukan sahaja menguntungkan pasukan negeri, malah ianya turut memberi tempias positif kepada skuad negara.

Menerusi statistik terkini, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul sebagai kelab paling ramai mendaftarkan pemain berdarah campuran seperti Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong, Darren Lok dan Junior Eldstal.

Ia diikuti Melaka United iaitu Khair Jones dan Nicholas Ryan Swirad, selain Matthew Davies (Pahang), Brendan Gan (Perak), Lee Andrew Tuck (Terengganu FC) serta Kiko Insa yang menyarung jersi kelab divisyen satu Thailand, Bangkok Glass.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 5:42pm
d