arena

Azizulhasni buru dua emas

Oleh Azlan Muhammad Zain

WALAUPUN tumpuan lebih terarah kepada Kejohanan Trek Dunia, Azizulhasni Awang mengakui turut teruja dalam memburu emas di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional yang bermula Jumaat ini.

    Selain mahu mempertahankan emas pecut individu, The Pocketrocketman turut mengintai peluang meraih emas acara keirin selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2015.

    “Tiada apa kerisauan pada ACC kali ini, saya mahu melihat prestasi diri sendiri... tiada perasaan takut kerana persediaan sentiasa positif.

    “Saya akan memberikan persembahan terbaik mempertahankan acara emas pecut selain melakarkan rekod peribadi bawah 10 saat dan pada masa yang sama terarah ke arah acara kegemaran, keirin,” katanya.

    Tambahnya, Jepun dan Korea Selatan kekal menjadi pencabar utama pada pertandingan kali ini.

    Selepas ACC, Azizuhasni akan menghadapi tiga kejohanan utama apabila ke Belanda menyertai Kejohanan Trek Dunia disusuli Sukan Komanwel dan Asia.

    Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan video seks membabitkan Datuk Lee Chong Wei, dia menjelaskan ia adalah salah satu cabaran kerana sudah pasti ada individu atau pihak yang dengki dengan ikon badminton berkenaan.

    “Saya percaya individu berkenaan bukan dia dan ia tidak perlu ditimbulkan lagi. Ia adalah salah satu ujian kepada kita untuk menjadi lebih gigih dan gagah,” tambahnya.

    Pada masa yang sama Azizulhasni turut menasihatkan atlet muda bahawa kejayaan dan kemewahan adalah sukar dan tidak akan hadir sekelip mata.

    “Pengorbanan perlu dilakukan termasuk mengenal erti susah payah. Malah, mereka perlu tanya kepada diri sendiri tujuan asal berkecimpung dalam sukan,” katanya mengulas mengenai isu bookie pemain badminton yang dilaporkan masih berusia 20-an.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 6:07pm
d