arena

Setiap 'team' perlu daftar nama pemilik

Oleh Aziman Rosdi

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bercadang mengubah struktur organisasi setiap pasukan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) dengan mengenal pasti pemilik pasukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, kepentingan untuk mengenal pasti pemilik setiap pasukan bukan hanya bertujuan bagi urusan isu berkaitan gaji malah untuk melakukan perubahan dalam struktur pasukan bola sepak secara keseluruhannya.

“Kita memang ada cadangan untuk melakukan perubahan dalam struktur pasukan dalam Liga Malaysia, kita mahu setiap pasukan mendaftarkan pemiliknya. Ini penting bila isu gaji tertunggak dibangkitkan, kita akan ada pihak yang bertanggung jawab.

“Ini seperti syarikat yang memiliki pemilik, jika gaji pekerja tidak dibayar, kita tahu siapa yang akan bertanggung jawab. Kita dalam proses memasukkan peraturan baharu ini dalam syarat bagi pelesenan kelab, mungkin dalam tempoh dua tahun akan datang, struktur baru pasukan ini boleh dilaksanakan,” katanya.

Isu tungggakan gaji pemain terus menghantui Liga-M apabila beberapa pasukan dikatakan masih lagi gagal melunaskan tanggungjawab mereka.

Dalam laporan terbaharu, Kuantan FA didakwa masih belum menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam bekas pemain pada 15 Januari lalu.

Kelab Liga Perdana itu masih ada enam kes tunggakan gaji yang dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan 21 dengan FAM.

Kevin berkata, setakat ini hanya kelab Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai pemilik iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Ada pihak yang tidak senang bila saya bagi contoh JDT, tapi hakikatnya, kelab ini yang mempunyai struktur organisasi yang baik. Jika kita lihat presiden pasukan negeri, mereka semua adalah dilantik, jadi siapa yang akan bertanggungjawab secara undang-undang bila masalah seperti tunggakan gaji ini timbul?” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 8:41pm
d