arena

Sesi pendengaran akhir Februari

Oleh Helmi Talkah & Fabian Peter

Kuala Lumpur: Sesi pendengaran bagi dua pemain badminton profesional negara yang disyaki terbabit dengan skandal mengatur perlawanan akan diadakan pada 26 dan 27 Februari di Singapura.

Menurut sumber, setiap pemain terbabit akan berdepan panel yang dilantik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) secara berasingan.

Mengikut peraturan ditetapkan BWF, mana-mana pemain didapati bersalah terbabit dengan skandal mengatur perlawanan boleh dikenakan penggantungan seumur hidup.

Kelmarin, Meja Sukan NSTP dalam laporan eksklusif melaporkan dunia badminton negara digemparkan dengan dakwaan seorang pemain profesional sedang disiasat BWF kerana disyaki terbabit skandal mengatur perlawanan.

Sehari selepas itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan mengenai perkara itu tetapi memaklumkan bukan seorang tetapi dua pemain profesional yang digantung sementara BWF bermula bulan lalu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan selesai.

Kes ini adalah yang pertama membabitkan pemain Malaysia yang didakwa terbabit dengan skandal mengatur perlawanan dalam siasatan BWF.

Difahamkan, BWF sudah memantau kedua-dua pemain terbabit sejak Februari tahun lalu sebelum memaklumkan kepada BAM, Disember lalu mengenai proses yang perlu dilalui mereka.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menyifatkan pemain yang membabitkan diri dengan kegiatan mengatur perlawanan sama seperti menjual negara.

“Ia sungguh memalukan. Bagi saya, apabila kamu bermain untuk negara, kamu perlu berikan yang terbaik.

“Jika kamu boleh mengatur perlawanan, ia tidak ubah seolah-olah kamu turut menjual negara. Saya cukup pantang dengan perkara seperti ini,” kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, semalam.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 8:10am
d