arena

Morais puas JDT benam Persija

Oleh Rizar Mohd Noor

PERASAAN gembira jelas terpancar di wajah Ulisses Morais selepas aksi pertama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi diterjemahkan dengan kemenangan.

Pengendali kelahiran Portugal itu menyifatkan kesungguhan anak didiknya menjinakkan Persija Jakarta 3-0 pada aksi Kumpulan H memberi kesan selepas dipalit kekalahan 0-1 kepada Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super, baru-baru ini.

Katanya, selain taktikal menjadi, setiap pemain berjaya memainkan peranan sepanjang aksi bagi memastikan tiga mata berjaya digapai di laman sendiri menerusi komitmen padu.

“Memang kami jangkakan ia perlawanan sukar kerana JDT tidak pernah menentang Persija Jakarta.

“Kami menguasai sepanjang perlawanan dan mampu menjaringkan tiga gol yang penting untuk memastikan kemenangan walaupun memiliki peluang menambah jaringan,” katanya selepas perlawanan.

Mengulas mengenai perubahan kesebelasan utama termasuk tidak menurunkan Marcos Antonio dan meletakkan Hariss Harun bergandingan bersama Fadhli Shas di benteng tengah, Morais tampak berpuas hati.

Katanya, kelebihan dimiliki Hariss jelas menjadi aset penting buat JDT kerana dia bukan saja boleh beraksi di posisi tengah, malah mampu menjalankan tugas selaku pertahanan hingga berjaya mengekang barisan serangan Persija diterajui Bambang Pamungkas.

“Walaupun Hariss ada melakukan sedikit kesilapan dan nyaris pasukan lawan menjaringkan gol tetapi anda kena lihat sepanjang perlawanan dia beraksi konsisten di posisi pertahanan dan sentiasa fokus.

“Saya juga berpuas hati dengan persembahan penjaga gol, Farizal (Marlias) yang tampil pertama kali selepas lapan bulan tidak beraksi akibat penggantungan. Agak manis untuknya kerana musim lalu dia digantung ketika aksi Piala AFC dan kini kembali dalam saingan yang sama,” kata Morais.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 2:10pm
d