arena

PDRM tak pernah putus asa

Oleh Asrol Awang

DUA kali tewas dan seri sekali menjadi pengajaran berharga buat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bangkit memberi persembahan meyakinkan sebaik Liga Perdana bersambung pada 23 Februari ini.

Justeru, jurulatih The Cops, Zulhamizan Zakaria mahu pemainnya melupakan keputusan tiga perlawanan yang mengecewakan itu untuk meraih kemenangan pertama saingan liga musim ini.

Katanya, tiada istilah berputus asa kerana perjalanan liga masih lagi jauh dan keputusan positif pada perlawanan keempat liga akan memulih kembali imej yang tercalar.

“Sebenarnya perit untuk menerima hakikat pasukan PDRM tidak dapat menempatkan kedudukan lebih baik selepas mengharungi tiga perlawanan.

“Keputusan yang diraih ini sememangnya tidak dijangkakan ketika kami mengharapkan kemenangan pada tiga perlawanan awal sebagai motivasi.

“Tapi pemain gagal untuk menyekat kegarangan lawan sekali gus menafikan peluang skuad The Cops meraih kemenangan pertama atas kesilapan mudah yang dipamerkan,” katanya.

Zulhamizan yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, fokus utama sepanjang tempoh rehat 14 hari ialah memperkasakan jentera pertahanan.

Pada masa sama, katanya, posisi penjaga gol juga turut diberi perhatian kerana persembahan yang dipamerkan tidak mencapai tahap yang diinginkan.

“Kemungkinan berlaku pertukaran pemain di posisi pertahanan dan penjaga gol ada. Tapi saya akan menilai prestasi mereka sepanjang latihan.

“Saya harapkan perlawanan keempat bertemu Pulau Pinang akan berakhir dengan kemenangan sebagai suntikan moral kepada pasukan,” katanya.

Musim ini, PDRM memulakan kempen Liga Perdana dengan keputusan terikat 1-1 dengan FELCRA FC, sebelum dibelasah 2-6 oleh FELDA United FC dan Sabah (0-2).

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 2:20pm
d