arena

Federer hampiri nombor satu dunia

Oleh Reuters

ROTTERDAM: Roger Federer maju setapak lagi untuk merampas kembali gelaran nombor satu dunia apabila menewaskan pemain Belgium, Ruben Bemelmans 6-1 6-2 di Terbuka Rotterdam semalam.

Pemain 36 tahun dari Switzerland itu hanya perlu mara ke separuh akhir di kejohanan berkenaan untuk memintas Rafael Nadal di takhta ranking ATP dan kembali menjadi pemain nombor satu dunia selepas kali terakhir memegang gelaran itu pada November 2012.

Dia menamatkan set pertama ke atas pemain ranking ke-116 itu hanya dalam tempoh 19 minit, menang lima permainan pertama dengan deretan pukulan menarik, seperti ditampilkan ketika memenangi Grand Slam pertama tahun ini di Melbourne bulan lalu.

Bemelmans cuba mengejar di set kedua apabila merapatkan jurang kepada 3-2 tetapi Federer memastikan kemenangan dalam tempoh 46 minit.

Federer bakal mengatasi Andre Agassi dari Amerika Syarikat sebagai pemain tertua memegang gelaran nombor satu jika dia menang dua lagi perlawanan di Rotterdam.

Dia juga berpeluang mencatat satu lagi rekod iaitu tempoh paling lama (lima tahun dan 106 hari) untuk kembali merampas gelaran berkenaan.

Sebelum ini Federer sudah memegang rekod sebagai pemain paling lama memegang gelaran itu dengan jumlah keseluruhan 302 minggu.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 3:55pm
d