arena

Harapan rentak cemerlang berterusan

Oleh Azlan Muhammad Zain

SELEPAS kejayaan membanggakan skuad trek negara di Sukan SEA dengan meraih 13 emas, rentak kecemerlangan diharapkan mampu berterusan di Velodrom Nasional apabila edisi ke-38 Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) bermula esok.

   Bagaimanapun, cabaran kali ini adalah lebih tinggi dan kompetitif, harapan serta sasaran juga perlu lebih realistik apabila 21 negara termasuk kuasa besar Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan dan China sudah sah bersaing kali ini.

   Sandaran utama negara sudah pastinya kepada juara keirin dunia, Azizulhasni Awang yang turun mempertahankan gelaran juara pecut individu selain memburu emas keirin selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2015.

   Namun harus diingat, kejayaan di ACC bukanlah keutamaan The Pocketrocketman kerana dia mempunyai tiga kejohanan besar selepas ini bermula dengan Kejohanan Trek Dunia, Sukan Komanwel dan Asia.

   Namun ACC kali ini sudah menawarkan mata kelayakan Olimpik 2020 sekali gus turut ‘membakar’ semangat dia untuk turun bersaing sebaik mungkin.

   Malah pentas ACC 2018 adalah medan terbaik untuk melihat sendiri kemampuan pencabar menjelang Olimpik 2020 terutamanya perkembangan semasa pelumba Jepun yang dilaporkan sudah mendapatkan khidmat ramai pakar luar negara bagi membantu mereka meraih kejayaan di bumi sendiri dalam tempoh dua tahun lagi.

   Harapan turut disandarkan kepada pelumba yang dilabel pengganti Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom untuk terus mengukuhkan reputasinya selepas memenangi gangsa keirin pada edisi 2017.

   Turut menarik untuk diperhatikan adalah perkembangan tiga pelumba  iaitu Mohd Fadhil Zonis, Muhamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol, yang dibentuk bagi menghadapi acara pecut berpasukan dalam menghadapi cabaran trio terbaik Asia nanti.

   Pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan turut diharapkan mampu menghadirkan berita gembira di laman sendiri.

   Secara keseluruhan, Malaysia menghantar 71 pelumba termasuk bagi bersaing dalam kategori remaja dan paracycling yang dilangsungkan serentak dari 16 hingga 20 Februari ini.

   Barisan pelumba remaja diharapkan mampu menyerlah pada edisi kali ini selepas gagal meraih sebarang emas pada 2017, sekadar menyumbang sebutir gangsa menerusi Muhammad Nur Aiman Rosli dalam acara omnium.

   Persembahan atlet paracycling negara turut dinantikan selepas 22 emas (trek dan lebuhraya) di Sukan Para ASEAN 2017 dengan mereka turut bersedia untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Para Asia.

  

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 7:26pm
d