arena

TUDM sedia lahir atlet

Oleh Jumiati Rosly

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) berharap dapat melahirkan lebih ramai atlet yang dapat mengharumkan nama negara apatah lagi kini mempunyai kompleks sukan bertaraf antarabangsa di Pangkalan Udara Sendayan.

“Buat masa ini kami ada program atlet yang berpotensi untuk mewakili negara.

“Kami sudah jalankan program ini bagi sukan kriket, petanque, sepak takraw, tinju dan ragbi,” kata Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Affendi Buang selepas majlis pemakaian pangkat kepada 11 atlet TUDM yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pangkalan Udara Sendayan yang mempunyai keluasan 303.5 hektar itu mempunyai pelbagai venue sukan seperti oval kriket bertaraf antarabangsa, pusat akuatik, ekuin, padang bola dan ragbi serta pelbagai jenis sukan lagi.

“Diharap dengan kemudahan yang ada ini dapat menaikkan mutu sukan TUDM sedia ada,” katanya.

Affendi juga berkata, seramai enam pemain kriket TUDM terpilih untuk menyertai skuad negara yang diketuai Sarjan Udara Mohd Anwar Arudin bagi Liga Kriket Dunia Divisyen 4 (WCL4) di Kuala Lumpur pada 26 April hingga 6 Mei ini.

“Ini satu sejarah buat TUDM apabila ramai terpilih mewakili negara dan juga kali ini kapten pasukan dan juga penolong kapten adalah warga TUDM,” katanya.

Pasukan kriket negara yang dibimbing jurulatih dari Sri Lanka, Sampath Parera akan bertolak ke Sri Lanka esok untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab di sana sebagai persedian menghadapi kejohanan itu nanti.

Terdahulu, 11 atlet TUDM yang beraksi cemerlang di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur diberi penghargaan dengan masing-masing dinaikkan pangkat.

Senarai atlet menerima kenaikan pangkat TUDM:

Kriket

Koperal Udara Mohd Anwar Arudin - Sarjan Udara

Koperal Udara Shukri Abdul Rahim - Sarjan Udara

Koperal Udara Abdul Rashid Ahad - Sarjan Udara

Koperal Udara Mohd Suharril Fetri Shuib - Sarjan Udara

Laskar Udara 1 Muhamad Syahadat Ramli - Laskar Udara Kanan

Laskar Udara 1 Muhammad Wafiq Irfan Zarbani - Laskar Udara Kanan

Koperal Udara Muhamad Norwira Zazmie Abdul Halim - Sarjan Udara

Sepaktakraw

Laskar Udara 1 Iskandar Zulkarnain Salim - Laskar Udara Kanan

Laskar Udara Kanan Ab Muhaimi Che Bongsu - Koperal Udara

Laskar Udara 1 Muhammad Faiz Roslan - Laskar Udara Kanan

Petanque

Koperal Udara Muhamad Hafizuddin Mat Daud - Sarjan Udara

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 8:00pm
d