arena

Liga M 'bersamba'

Oleh Devinder Singh

BRAZIL muncul negara yang paling diminati pasukan yang bersaing di Liga Malaysia dan selepas jendela perpindahan ditutup Ahad lalu, terdapat 25 pemain dari negara itu yang kini mengatur aksi bersama pasukan masing-masing.

Jumlah itu melepasi catatan 23 warga Brazil yang bersaing sepanjang musim 2016.

Kuala Lumpur, Perak, FELDA United dan FELCRA masing-masing menyenaraikan tiga pemain Brazil di dalam pasukan masing-masing sambil Korea Selatan menjadi negara pilihan kedua apabila 12 pemain mereka dibawa masuk ke Liga Malaysia.

Secara keseluruhan, 110 pemain import dari 34 negara didaftarkan dengan Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, kebanjiran pemain warga Brazil mungkin disebabkan aura yang dimiliki negara Amerika Selatan berkenaan.

“Bagaimanapun, apa yang penting ialah anda membawa masuk pemain tepat kerana anda boleh temui pemain hebat di mana-mana negara sekalipun,” kata Durakovic yang turut membawa masuk pemain Brazil, Gilmar Jose Da Silva Filho, Leandro Dos Santos dan Wander Luiz Bitencourt Junior ke dalam pasukannya.

“Tetapi saya tidak boleh menafikan hakikat yang menyebut secara teknikalnya, pemain Brazil memang hebat. Mereka mempunyai faktor tambahan serta daya tarikan yang diperlukan pasukan seperti skil, sikap serta pandai menghormati warga tempatan.

“Rakyat Brazil seolah-olah dilahirkan untuk bermain bola sepak dan pada pendapat saya, mereka lebih mudah bergaul dengan warga tempatan. Justeru, itu menjadi antara punca mengapa pasukan Malaysia sukakan mereka.”

Impak pemain Brazil di Liga Super masih belum dapat dilihat tetapi penyerang seperti Anselmo Arruda Da Silva dan Gilberto Fortunato masing-masing sudah meledak lima gol sepanjang tiga perlawanan untuk FELCRA dan FELDA United setakat ini.

Musim lalu, pemain Kuala Lumpur, Guilherme Da Silva menghasilkan 30 gol dalam semua pertandingan termasuk enam dalam satu aksi manakala bintang FELDA, Thiago Augusto Fernandes menjaringkan 14 gol sekali gus muncul warga Brazil yang menjadi penjaring terbanyak Liga Super 2017.

“Pemain Brazil memiliki keistimewaan tertentu dan setiap kali mereka mendapat bola, mereka kelihatan mampu melakukan sesuatu,” kata jurulatih Kuala Lumpur yang juga berasal dari Brazil, Fabio Maciel. Beliau juga membawa masuk Paulo Josue serta Junior Aparecido ke dalam pasukannya.

“Mereka mampu memenangi perlawanan menerusi aksi individu, bermain mengikut taktikal dan menyempurnakan peluang satu lawan satu sekali gus membuatkan mereka begitu berharga.”

Negara lain yang turut menjadi pilihan ialah Indonesia (enam pemain) dan mereka muncul negara pilihan untuk mengisi kuota Asia Tenggara selain empat pemain Kemboja yang tampil buat kali pertama di Liga Malaysia.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 8:45pm
d