arena

Johnson mahu pertahan kejuaraan

Oleh AFP

Los Angeles: Dustin Johnson kembali ke Kelab Country Riviera minggu ini untuk mempertahankan kejuaraannya pada Terbuka Genesis yang melonjak namanya ke kedudukan nombor satu dunia, tahun lalu.

Minggu ini, Johnson menjadi pemain kelima sejak ranking diperkenalkan pada 1986 yang mengekalkan gelaran itu untuk 52 minggu berturut-turut, menyertai kumpulan elit terdiri daripada Tiger Woods, Greg Norman, Nick Faldo dan Rory McIlroy.

Dia mengesahkan gelaran itu dengan kemenangan lima pukulan di Riviera dan disusuli dengan kemenangan pada Kejuaraan Mexico WGC dan WGC Match Play untuk meletakkan dirinya sebagai pemain pilihan di Masters AS.

Namun kecederaan akibat terjatuh tangga di kediaman sewanya di Augusta menamatkan impian Masters Johnson sebelum ia bermula. Dia tidak dapat bermain hingga Mei tahun lalu.

Selepas kemenangan selesa pada Kejohanan Juara-Juara bulan lalu dan terikat di tangga kedua di Pebble Beach minggu lalu, Johnson berkata, permainannya kembali ke tahap sama seperti tahun lalu.

“Saya rasa permainan saya mula kembali ke prestasi terbaiknya,” kata Johnson.

“Malah minggu lalu, saya tidak rasa seperti sudah memberikan yang terbaik tapi masih lagi bersaing untuk kejuaraan.”

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 10:21am
d