arena

Conte 'sakit kepala' pilih pemain

Oleh AFP

London: Pengurus Chelsea, Antonio Conte mengalu-alukan ‘sakit kepala’ yang diperolehnya dalam pemilihan pemain menjelang detik penting buat juara Inggeris itu selepas mereka layak ke suku akhir Piala FA, awal pagi tadi.

Chelsea yang mengalami rombakan membelasah Hull City 4-0 di pusingan kelima di Stamford Bridge dengan pemain Brazil, Willian menyinar dengan meledak dua gol cantik dari luar kotak penalti.

Dua lagi gol The Blues dijaringkan oleh Pedro Rodriguez dan Olivier Giroud yang menjadi gol pertama bekas penyerang Arsenal itu sejak menyertai Chelsea, bulan lalu.

Conte tidak menyenaraikan beberapa tonggak antaranya, Thibaut Courtois, Cesar Azpilicueta, N’Golo Kante dan Eden Hazard ketika bertemu Hull dengan Chesea dijadual melayan gergasi Sepanyol, Barcelona di London bagi aksi pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, Rabu ini.

“Sebelum perlawanan yang penting, menentang Barcelona, malam ini saya perlu pulang ke rumah dengan begitu banyak persoalan dalam minda saya, apakah kesebelasan terbaik saya untuk melawan Barcelona,” kata Conte.

“Tetapi ia sesuatu yang bagus. Kami perlu mengambil masa yang betul untuk membuat keputusan memilih kesebelasan utama yang terbaik untuk memulakan perlawanan.”

Selepas menanti Barcelona di Stamford Bridge, Chelsea akan membuat kunjungan sukar ke Manchester United dan Manchester City bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam usaha untuk mengukuhkan tempat di kedudukan empat terbaik.

Begitupun, Conte percaya kemenangan yang ditambah dengan kejayaan menewaskan West Brom 3-0 pada Isnin lalu sudah mengembalikan keyakinan pasukannya untuk menewaskan Barca selepas dipalit kecewa tewas dua kali berturut-turut, dua minggu lalu.

“Kita bercakap mengenai perlawanan yang besar. Tetapi kini, kami perlu yakin,” kata pengendali dari Itali itu. “Saya menganggap Barcelona sebagai salah satu pasukan terbaik di dunia.

“Pada satu sudut, kamu perlu sedikit sedih untuk bermain menentang mereka, tetapi pada satu sudut, kamu perlu teruja. Kami perlu cuba untuk bersaing dengan mereka di tahap ini.

“Sudah pasti ia tidak mudah tetapi kami perlu mempunyai keyakinan yang betul dan kemudian kita lihat apa yang berlaku.” - AFP

Disiarkan pada: February 17, 2018 @ 11:49am
d