arena

Ambil iktibar kisah hitam saya

Oleh Zulfaizan Mansor

JANGAN ulangi kesilapan saya 23 tahun dulu! 

Itu pesanan bekas pemain kebangsaan, Matlan Marjan yang disabitkan kesalahan rasuah dan mengatur keputusan perlawanan pada tahun 1995.

Matlan menjelaskan, hukuman dibuang daerah dan digantung seumur hidup daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dikenakan ke atasnya amat perit dan menyebabkan dirinya tertekan.

Justeru, dia yang tetap dikenang sebagai legenda bola sepak Sabah berharap kisah hitam itu tidak lagi diulangi pemain sekarang ketika isu berkenaan kembali memanaskan arena bola sepak negara hanya selepas tiga perlawanan Liga Malaysia musim ini.

Katanya, pemain sekarang ini seharusnya tidak mempunyai alasan untuk terbabit isu rasuah jika melihat faktor gaji yang lumayan diterima mereka.

“Bagi saya pemain perlu hati-hati dan berfikir panjang. Bola sepak kita juga sudah jauh berbeza berbanding 20 tahun dulu,” kata Matlan yang dibebaskan daripada penggantungan seumur hidup oleh FAM pada April tahun lalu.

“Susah bila sudah kena (hukuman), sebab mata pencarian saya hanya bermain bola. Malah saya sendiri berdepan tekanan, terutama apabila memikirkan soal keluarga.

“Tapi saya bernasib baik apabila dibebaskan oleh FAM selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai presiden. Jadi, peluang ini saya perlu gunakan untuk menebus kesilapan lalu.”

Biarpun hukuman berat seperti digantung seumur hidup dikenakan kepada pesalah rasuah dalam bola sepak, namun gejala jijik itu masih berlaku dengan kes terbaru dua pemain Sarawak sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sukan NSTP semalam melaporkan bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad mencadangkan hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga tahun perlu dikenakan ke atas pemain yang didapati bersalah mengambil rasuah.

Menurut Matlan, hukuman penjara itu boleh dilaksanakan tetapi perlu mengikut sistem perundangan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Sebetulnya, kita kena nilai semua aspek sebelum hukuman dikenakan. Bagi saya, pasukan pun kena ada tanggungjawab terhadap kebajikan pemain, dulu (kes rasuah) disebabkan faktor gaji (tertunggak).

“Tapi sekarang banyak persatuan sudah bertanggungjawab, gaji pemain pun tinggi. Kalau gaji tinggi tapi tidak berbayar pun tiada guna juga. Jadi, kedua-dua pihak kena ada tanggungjawab,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 7:01pm
d