arena

Rochdale ikat Spurs

Oleh AFP

LONDON: Kelab liga bawahan, Rochdale menjaringkan gol di lewat permainan bagi menafikan kemenangan Tottenham Hotspur pada pertembungan pusingan lima Piala FA yang berakhir seri 2-2, awal pagi tadi.

Tottenham tampak sudah selangkah untuk menempah tempat di suku akhir apabila penyerang England, Harry Kane yang dimasukkan selaku pemain gantian menjaringkan gol menerusi penalti dua minit sebelum masa tamat untuk mendahului 2-1.

Begitupun, Rochdale yang beraksi di divisyen tiga Inggeris dan menjaringkan gol pertama menerusi Ian Henderson pada penghujung babak pertama kembali menyamakan kedudukan apabila pemain gantian, Steve Davies meledak gol dari jarak 10 meter, tiga minit memasuki masa kecederaan.

Keputusan bermakna Rochdale yang menghuni tangga ketiga tercorot Liga Satu mengheret Spurs menghadapi perlawanan ulangan di Wembley yang menjadi gelanggang sementara Tootenham.

“Mereka berkata ia adalah impian setiap kanak-kanak (bermain di Wembley) dan kami sudah melakukan yang secukupnya untuk bermain di sana,” kata Davies kepada BBC.

“Saya sudah melakukan kerja saya, ia tiba kepada saya dan saya menyelesaikannya.”

Selepas mendahului menerusi Henderson pada minit ke-45, Tottenham menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi jaringan Lucas Moura pada minit ke-59.

Tottenham tampak kembali bangkit apabila pertahanan tuan rumah, Harrison McGahey menjatuhkan Dele Alli dan Kane tidak bermasalah untuk menewaskan penjaga gol lawan, Josh Lillis pada minit ke-88.

Begitupun, Rochdale jelas enggan mengalah apabila kembali menyamakan kedudukan menerusi Henderson yang memaksa Tottenham mengharungi aksi ulangan Piala FA buat kali kedua berturut-turut.

“Ia menakjubkan,” kata Henderson. “Kami bermain dengan cukup baik menentang Spurs. Kami tidak sabar untuk pergi ke Wembley dan bertemu mereka. Saya tahu yang kami sentiasa mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan.”

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 7:46am
d