arena

Desak Marcote guna 'tiki-taka'

Oleh Rodly Fadly

PENYOKONG Kedah mendesak jurulatih, Ramon Marcote agar kembali mengaplikasikan corak permainan ‘tiki-taka’ kerana ia bukan sahaja menjadi identiti pasukan itu malah sudah terbukti membawa banyak kejayaan.

Dua kelab penyokong berpengaruh di negeri itu, Jaguh Utara Fan Club (JUFC) dan Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) juga beranggapan gaya permainan ala kelab gergasi Sepanyol, Barcelona itu juga sudah serasi serta lebih sesuai dengan Helang Merah.

“Sebenarnya apabila Marcote mengambil alih tugas ketua jurulatih, penyokong sangat mengharapkan beliau akan menambahkan lagi cita rasa tiki-taka dalam pasukan kerana beliau sendiri datang dari Sepanyol.

“Tapi apa yang dipertontonkan dalam tiga perlawanan setakat ini sangat memeranjatkan apabila beliau mengubah keseluruhan corak permainan sehingga kami merasakan pasukan yang sedang beraksi itu bukan Kedah.

“Kami amat merindui corak permainan tiki-taka. Ia bukan sahaja menghiburkan malah terbukti sangat berkesan sehingga membawa Kedah menjuarai Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih,” ujar Presiden JUFC, Mohd Safarizal Mohd Sobri.

Sementara itu Presiden KEPDA, Nor Asmadi Hamzah berkata Marcote seharusnya kembali kepada permainan tiki-taka selepas corak baharu yang diperkenalkan jelas tidak sesuai serta kurang berkesan.

“Corak permainan hantaran jauh yang dipraktikkan oleh Kedah sekarang tidak menjadi kerana ia mudah dibaca serta dipatahkan lawan. 

“Pemain juga tampak sukar menyesuaikan diri dengan corak baharu yang diaplikasikan Marcote kerana sejak beberapa musim lalu mereka sudah serasi dengan gaya tiki-taka.

“Ia antara sebab mengapa Kedah kalah kepada JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Perak serta hanya menang tipis (1-0) ke atas PKNP. Situasi ini sangat merisaukan penyokong.

“Sepatutnya, Marcote mengekalkan corak permainan yang sudah menjadi identiti Kedah, malah lebih bagus jika dipertingkatkan kerana perubahan drastik sebegini hanya merosakkan pasukan.

“Begitupun masih belum terlambat untuk Marcote memperbaiki kelemahan ini. Kami berharap beliau akan kembali kepada corak permainan tiki-taka yang menjadi senjata Kedah selama ini,” kata Asmadi.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 12:13pm
d