arena

Thauvin wira Marseille

Oleh AFP

PARIS: Florian Thauvin meneruskan ketajamannya memburu gol ketika membantu Marseille meraih kemenangan 1-0 ke atas Bordeaux, awal pagi tadi sekali gus mengukuhkan peluang beraksi di Liga Juara-Juara, musim depan.

Thauvin menanduk gol berpunca daripada sepakan sudut Dimitri Payet pada minit ke-35 di Velodrome untuk menyamai rekod terbaik kariernya menjaringkan 15 gol dalam Ligue 1 semusim.

Keputusan turut meletakkan Marseille kini hanya dipisahkan dengan satu mata di belakang Monaco yang menghuni tangga kedua liga.

Skuad kendalian Rudi Garcia itu hanya tewas sekali dalam aksi Ligue 1 sejak September lalu dan dijadual bertemu pendahulu, Paris Saint-Germain (PSG), hujung minggu ini.

Mereka kemudian sekali lagi bertemu PSG di Parc des Princes, tiga hari kemudian bagi perlawanan suku akhir Piala Perancis.

Kekalahan buat Bordeaux pula mengakhiri deretan empat kemenangan berturut-turut kelab itu dan pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Gustavo Poyet yang menggantikan tempat Jocelyn Gourvennec yang dipecat, bulan lalu.

Sementara itu, dua jaringan Bertrand Traore masih gagal untuk membantu Lyon yang terpaksa akur diikat kelab bergelut, Lille 2-2 di laman lawan.

Penyerang Burkina Faso, Traore, yang menyertai Lyon dari Chelsea, Julai lalu meletakkan pelawat mendahului dan di ambang kemenangan susulan tiga kekalahan dalam liga berturut-turut.

Begitupun gol selepas rehat babak pertama daripada Nicolas Pepe dan penyerang Brazil, Luiz Araujo menghadiahkan skuad kendalian Christophe Galtier satu mata dan meletakkan Lille satu kedudukan di atas zon penyingkiran.

Lyon sebelum ini tampak seperti pasukan yang mampu memberi masalah kepada PSG apabila menghadiahkan pendahulu liga itu kekalahan pertama pada Januari tetapi mereka beraksi longlai dan ketinggalan enam mata di belakang Marseille.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 12:23pm
d