arena

Heynckes buat Bavaria 'bernyawa'

Oleh AFP

BERLIN: Bayern Munich yang menanti Besiktas di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara berharap deretan 13 kemenangan berturut-turut di bawah kendalian Jupp Heynckes, arkitek yang menjulang gergasi Jerman itu kejuaraan ‘treble’ pada 2013 berterusan.

Sejak Heynckes menggantikan Carlo Ancelotti selaku ketua jurulatih pada Oktober, Bayern sudah menang 22 daripada 23 perlawanan menuju pertembungan timbal balik pertama pada awal pagi Rabu ini di Allianz Arena.

Sebelum dibimbing Heynckes, 72, yang kembali buat kali keempat sebagai pengurus di Allianz, Bayern ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund selain dimalukan Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 pada hari terakhir Ancelotti.

Pelantikannya pengurus yang menghadiahkan kelab itu tiga gelaran Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman, lima tahun lalu jelas satu perjudian buat Bayern tetapi tampak berbaloi.

“Isteri dan anak perempuan saya berkata saya perlu melakukannya,” kata Heynckes ketika Bayern menyeru namanya. “Anjing saya juga menyalak dua kali, jadi bermakna saya patut melakukannya.”

Sesi latihan dan disiplin di bawah Heynckes jelas lebih getir buat pemain dengan sesi latihan dimulakan sejak awal pagi.

Thomas Mueller, pemain yang Ancelotti gagal untuk berikan posisi terbaik kembali ditugaskan di belakang penyerang, Robert Lewandowski berbanding di bahagian sayap, sebelum ini.

Beberapa lagi pemain termasuk Javi Martinez juga diberi peranan yang berbeza dan perubahan pantas dapat dilihat dengan Bayern kembali ke landasan kemenangan tatkala satu-satunya kekalahan adalah 2-1 bertemu Borussia Moenchengladbach pada November lalu.

Mereka mara ke separuh akhir Piala Jerman dengan cara yang sukar dengan kemenangan ke atas RB Leipzig dan Dortmund di pusingan awal serta pada Disember, mereka menewaskan PSG 3-1 di Munich untuk menamatkan saingan di tangga kedua.

Kelab gergasi Bavarian itu juga berterusan mengukuhkan kedudukan di puncak Bundesliga termasuk kemenangan 2-1 di Wolfsburg, kelmarin untuk memiliki kelebihan besar 19 mata berbanding pasukan tangga kedua.

“Pasukan ini tidak akan mengalah, dalam apa juga kejohanan yang disertai,” kata Heynckes yang sebelum ini bertegas hanya mahu mengendalikan Bayern musim ini sebelum kembali bersara.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 5:18pm
d