arena

Harap 4 tonggak segera pulih

Oleh Azizan Hashim

JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic berharap dapat menurunkan empat pemain yang cedera apabila bertandang ke Kota Bharu dalam aksi Liga Super menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini.

Menurutnya, beliau berharap kapten pasukan, Nasir Basharuddin, Brendan Gan, Mohd Nazrin Nawi dan Ahmad Khairil Anuar Zamri boleh beraksi dalam perlawanan keempat The Bos Gaurus itu sekali gus bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada PKNS FC, 10 Februari lalu.

Setakat ini, Nasir dan Khairil Anuar belum beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan manakala Brendan diturunkan ketika menentang Pahang dan Kedah sementara Nazrin pula dibawa masuk ketika bertemu Kedah.

Bagaimanapun, Brendan dan Nazrin tidak berada dalam senarai 18 pemain ketika menentang PKNS FC di Stadium Lumut, 10 Februari lalu.

Berikutan penangguhan aksi liga hampir dua minggu sempena cuti Tahun Baharu Cina, Durakovic berharap semua anak buahnya itu sudah pulih.

“Saya tidak tahu keadaan mereka setakat ini tetapi saya harap mereka dapat diturunkan terutama sekali Nasir dan Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri).

“Saya perlu menurunkan kesebelasan terbaik bagi memburu kemenangan dan saya harap mereka boleh beraksi,” katanya.

Durakovic bagaimanapun menafikan anak buahnya bakal berdepan laluan mudah menentang pasukan tercorot itu.

“Jangan pandang rendah kemampuan Kelantan kerana mereka sebenarnya bukan calang-calang pasukan. Ketika ini mereka mungkin belum menunjukkan kemampuan sebenar,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 5:44pm
d