arena

Bookie bagi habuan sehingga RM300,000

Oleh Fabian Peter

SEORANG bekas pemain badminton kebangsaan mengakui dakwaan gejala mengatur perlawanan bukan sesuatu yang baru apabila mendedahkan ada pemain menerima bayaran lumayan untuk kalah pada pusingan awal.   

Berdasarkan pengalamannya, bekas pemain yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia itu mendakwa terdapat pemain yang mendapat habuan daripada bookie sehingga S$100,000 (kira-RM300,000) pada 2006-2007.   

"Ini bukan sesuatu yang baru. Mungkin, apa yang baru adalah penggunaan teknologi yang sukar untuk mengesan urusan mengatur perlawanan antara bookie atau pemain. 

"Apa yang kita saksikan atau dengar sekarang hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar. Saya sendiri terkejut apabila mengetahui perkara seperti ini lebih 10 tahun dulu.   

"Saya pernah menyertai satu kejohanan di Eropah dan saya berjaya mara ke suku akhir. Biasanya, kita bersarapan di kafe hotel dan di tepi sudut itu ada komputer.

"Saya menggunakan komputer itu untuk melihat undian perlawanan dan apa yang mengejutkan saya apabila ada laman web pertaruhan yang sah. Lebih mengejutkan apabila nama saya juga ada di laman web berkenaan.   

"Proses untuk membuat pertaruhan agak mudah, anda hanya perlu memilih siapa yang anda rasa akan menang. Sudah pasti saya tak boleh bertaruh ke atas diri saya sendiri tapi saya tahu ada pemain yang meminta kawannya untuk membuat pertaruhan ke atas dirinya untuk kalah dan daripada situ dia mendapat duit yang banyak. 

“Saya tahu seorang pemain boleh mendapat RM300,000 sedangkan hadiah wang kemenangan hanya AS$6,000 (kira-kira RM23,000).   

"Sekarang jika anda melihat kepada laman web pertaruhan yang sah, sama seperti yang anda lihat dalam sukan lain, jadi bagaimana anda hendak membanteras gejala mengatur perlawanan?,” soalnya.

Menurutnya, dia mengikuti skandal mengatur perlawanan yang membabitkan dua pemain profesional Malaysia dan percaya bahawa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan bertindak mengikut maklumat yang diberikan.   

"Saya tak pasti sama ada BWF sebelum ini memantau gaya hidup dua pemain ini kerana ramai pemain di luar sana. Kita sekarang hanya menanti apa keputusan perbicaraan di Singapura pada hujung bulan ini," katanya.   

Minggu lalu, dalam laporan ekslusif Sukan NSTP mendedahkan seorang pemain profesional negara sedang disiasat atas dakwaan mengatur perlawanan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagaimanapun mengesahkan bukan seorang malah dua pemain profesional kini digantung sementara daripada semua pertandingan sementara menunggu siasatan selesai.   

Dua pemain terbabit yang berdepan hukuman penggantungan seumur hidup jika didapati bersalah akan menghadiri perbicaraan di Singapura pada 26 dan 27 Februari ini.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 8:55pm
d