arena

Yamaha tak cukup laju

Oleh Reuters

BURIRAM: Berdasarkan bukti dua ujian pra musim MotoGP, membayangkan Yamaha kini sedang bergelut, menurut Valentino Rossi dan Maverick Vinales.

Penunggang legenda Itali, Rossi, juara sembilan kali kejuaraan dunia yang berusia 39 tahun minggu lalu, berkedudukan ke-12 catatan masa selepas ujian terbaharu di Thailand manakala rakan sepasukannya dari Sepanyol kelapan.

Vinales sebelum itu berkedudukan ketujuh dan Rossi kesembilan pada ujian tiga hari di Malaysia.

“Ia ujian yang sukar, kami bergelut dan kami perlu meningkat kerana tidak banyak kami lakukan berbanding tahun lalu,” kata Rossi kepada MotoGP.com selepas sesi di litar Buriram, Thailand.

“Terutama berkaitan elektronik, jadi saya rasa banyak yang kami perlu lakukan.”

Vinales, yang menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan musim lalu, berkata pasukan Yamaha itu perlu meningkat dalam semua bahagian dengan pencabar utama, Honda dan Ducati mencipta kepantasan pada 2018 selain bertarung untuk gelaran tahun lalu.

Ketika penunggang utama Yamaha mendapati jentera mereka kurang cengkaman, pasukan bukan utama, Tech3 tampak lebih mendapat kepantasan dengan penunggang Perancis, Johann Zarco kedua terpantas di Thailand.

Rossi berharap akan ada peningkatan pada ujian terakhir pada 1 Mac dekat Qatar, venue perlumbaan sulung musim ini pada 18 Mac.

“Pada ketika ini kami bergelut,” katanya. “Tetapi ini hari ini. Mungkin di Qatar akan lebih baik.”

 

 

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 2:28pm
d