arena

Hukuman FMLLP ikut peraturan

Oleh Syafiq Aznan

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan pihaknya tidak berdepan masalah terhadap tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk mengenakan sebarang hukuman termasuk pemotongan mata ke atas pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran pasukan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata, secara dasarnya, badan induk bola sepak Asia itu tidak menganggap tindakan itu sebagai satu isu memandangkan hukuman yang hendak dilaksanakan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang sudah ditetapkan dalam peraturan liga domestik.

“Mengenai hukuman itu (pemotongan mata), itu adalah peraturan liga domestik. Kalau ia sudah menjadi peraturan, maka tiada pilihan lain selain melaksanakan undang-undang yang sudah ditetapkan.

“Ini peraturan domestik untuk masalah domestik. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun FMLLP selaku badan pentadbir liga boleh mengambil apa saja langkah yang dilihat boleh membantu mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, empat pasukan Liga Super iaitu Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC mungkin berdepan hukuman tegas FMLLP apabila gagal melengkapkan dokumen pendaftaran mengikut tarikh yang ditetapkan.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu, Kelantan dan Kuala Lumpur tidak menghantar atau menghantar dokumen yang tidak betul manakala Selangor dan PKNS FC pula lewat melengkapkan proses pendaftaran pada 3 Februari lalu.

Berdasarkan hukuman yang pernah dikenakan badan pengendali liga itu kepada beberapa pasukan tahun lalu, kemungkinan hukuman pemotongan mata sekali lagi akan dikenakan kepada empat pasukan Liga Super itu.

Pada musim 2017, empat pasukan ditolak enam mata berkuat kuasa serta-merta selepas gagal melengkapkan pendaftaran pasukan untuk menyertai Liga-M musim lalu.

Empat pasukan itu adalah Kelantan, T-Team, Perlis dan ATM yang berdepan masalah kewangan dan tunggakan gaji hingga gagal memuat naik surat selesai bayaran bagi tunggakan gaji, tunggakan KWSP, tunggakan PERKESO dan tunggakan LHDN bagi melengkapkan pendaftaran pasukan.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 3:22pm
d