arena

Kekal momentum

Oleh Mohd Amin Jalil

SELEPAS melakar kemenangan pertama musim ini, skuad Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA) tidak rela rentak mereka terjejas apabila turun menentang FELCRA FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Ketua jurulatih K Devan berkata, beliau mahu pemain pasukan itu menggandakan lagi usaha kerana tugas berdepan FELCRA dijangka lebih sukar, terutama sekali kerana beraksi di gelanggang lawan.

Malah katanya, FELCRA yang dibimbing jurulatih dari Brazil, Tarcisio Pugliese sudah membuktikan kemampuan apabila mereka menang 3-2 ke atas Sarawak dalam aksi di gelanggang lawan pada 10 Februari lalu.

“Walaupun FELCRA pendatang baru dalam liga ini, tapi mereka dilihat antara pencabar terkuat selain mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak boleh dipandang rendah. Malah, selepas menamatkan tiga perlawanan, pasukan itu antara yang belum lagi tewas.

“Oleh itu, kami perlu membuat persiapan lebih rapi bagi memastikan hasrat mengutip tiga mata dapat dicapai sekali gus mempertahankan pencapaian terbaik setakat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Begitupun, Devan yakin anak buahnya mampu mengulangi aksi cemerlang selepas berjaya menewaskan Terengganu FC II 1-0 di laman sendiri pada 9 Februari lalu.

“Paras keyakinan pemain setakat ini dilihat meningkat hasil kemenangan pertama ke atas TFC II, tapi mereka tidak boleh terlalu yakin untuk menewaskan FELCRA yang memiliki kekuatan tersendiri.

“Apa yang saya harapkan pemain dapat kekal fokus dan berikan komitmen 100 peratus sepanjang permainan kerana saingan di Stadium Shah Alam nanti amat berbeza dan mereka juga perlu lebih berhati-hati supaya tidak melakukan sebarang kesilapan mudah yang boleh mengganggu rentak pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 5:33pm
d