arena

'Boleh Malaysian Tigress tiga terbaik Asia?'

Oleh Jumiati Rosly

DENGAN sokongan penuh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), skuad hoki wanita negara disasarkan untuk menduduki tiga tempat terbaik pada Sukan Asia Indonesia, Ogos depan selain enam terbaik pada Sukan Komanwel Gold Coast, April ini.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, badan induk itu berasakan Malaysian Tigress mampu bertindak lebih baik berbanding ranking semasa skuad negara ketika ini di tangga kelima Asia dan ranking lapan dalam kalangan negara Komanwel.

“Kami rasakan dengan sokongan dan bantuan yang diberikan MHC kepada mereka (skuad wanita) dan juga duit yang kami keluarkan, kami rasa mereka boleh melakukan lebih baik,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja MHC bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Pencapaian terbaik skuad wanita negara pada Sukan Asia adalah memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1982 di New Delhi sementara kejayaan terbaik pada Sukan Komanwel adalah menduduki tangga keenam pada 2006 di Melbourne.

Bagi Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April depan, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama pasukan nombor dua dunia England, India (10), Afrika Selatan (14) dan Wales (26).

Mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk tidak mewujudkan lagi skuad pembangunan kebangsaan dan hanya memberi perhatian kepada skuad Program 2020 lelaki dan wanita.

“Dulu kami ada skuad pembangunan untuk lelaki dan wanita namun kini kami mengubah struktur kerana mahu fokus kelayakan ke Piala Dunia 2020,” katanya.

Subahan berkata, mesyuarat hari ini memutuskan melantik Nor Saiful Zaini Nasiruddin sebagai ketua jurulatih skuad lelaki Program 2020 sementara Yahya Atan bagi skuad wanita.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 5:44pm
d