arena

'Jaga-jaga Selangor bisik Forkey Doe'

Oleh Aziman Rosdi

JURULATIH Selangor, P Maniam mengakui kekuatan serangan yang dimiliki Pahang selepas kehadiran bekas penyerang mereka, Francis Forkey Doe mampu memberikan ancaman besar apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Beliau berkata, anak buahnya perlu lebih bersedia apatah lagi selepas mereka mengalami kekalahan besar 1-4 di tangan Terengganu dalam aksi terakhir sebelum liga berehat selama dua minggu.

“Kami sudah lupakan kekalahan sebelum ini, saya percaya semua pemain sudah tidak sabar beraksi menentang Pahang. Saya sudah melakukan beberapa perubahan dari segi formasi dalam latihan dan pemain menunjukkan kesungguhan.

“Semua pemain dalam keadaan terbaik kecuali Alex (Azzamudin Akil) yang masih mengalami kecederaan manakala Ilham Udin Armaiyn sudah 90 peratus pulih daripada kecederaan buku lali, saya fikir dia OK dan boleh berlatih esok,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Skuad Red Giants membuat permulaan cemerlang dalam dua perlawanan awal liga menerusi kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dan 4-1 dengan Melaka United sebelum momentum mereka disekat Terengganu.

Selangor yang kini menduduki tangga ketiga liga pasti mahu mengekalkan rekod baik di Cheras namun Maniam sedar ia bukan tugas mudah buat anak buahnya dengan Pahang sudah menikmati kemenangan pertama sebaik kemasukan Forkey Doe bersama skuad Tok Gajah itu.

“Kami bukan saja perlu mengawasi Forkey Doe, tapi (Mohamadou) Sumareh, Norshahrul (Idlan Talaha) dan Chan Vathanaka. Bahagian tengah mereka juga bagus kerana Safuwan (Baharudin) dan Nor Azam Azih mengawal dengan baik dalam perlawanan sebelum ini. Memang saya jangkakan ini perlawanan yang sukar,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 6:12pm
d