arena

Kemarau Messi bertemu Chelsea berakhir

LIONEL Messi meledak buat kali pertama dalam sembilan perlawanan berdepan Chelsea seterusnya memberikan Barcelona kelebihan selepas perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara sebentar tadi yang berakhir dengan kedudukan 1-1 di Stamford Bridge.

Jaringan Willian dalam tempoh sejam meletakkan Chelsea di depan selepas dua kali bola terkena palang pada babak pertama.

Bagaimanapun kealpaan menyebabkan Chelsea merana ketika Andres Iniesta merampas bola hantaran Andreas Christensen untuk melorongkan bola kepada Messi yang menyamakan kedudukan buat Barca 15 minit sebelum tamat.

Juara England itu kini mesti menjaringkan gol apabila berkunjung ke Camp Nou pada 14 Mac untuk berpeluang mara ke kelompok lapan terakhir.

Pengurus Chelsea, Antonio Conte membuat kejutan sebelum sepak mula apabila tidak menyenaraikan Olivier Giroud dan Alvaro Morata dengan Eden Hazard bermain di tengah yang menampilkan tiga pemain termasuk Willian dan bekas pemain sayap Barca, Pedro Rodriguez.

Dan Hazard memberi amaran pertama bahawa Barca tidak boleh selesa malam itu apabila melakukan percubaan dalam tempoh lima minit.

Tandukan Antonio Rudiger juga tersasar pada malam yang positif buat tuan rumah tetapi Barca memiliki peluang terbaik pada minit ke-16.

Chelsea sering mengekang Messi dengan tiga atau empat pemain untuk mengehadkan pergerakan pemain Argentina itu tetapi dia berjaya melakukan hantaran silang ke kawasan penalti tetapi ditanduk liar Paulinho.

Barca kemudian mendominasi kawalan bola untuk sebahagian besar babak pertama apabila pada satu ketika mereka menguasai 80 peratus permainan.

Bagaimanapun pelawat kurang sentuhan jaringan dan bernasib baik baik untuk kedudukan 0-0 pada babak pertama. - AFP

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 7:10am
d