arena

Cedera punca 'tiki-tika' belum sempurna

Oleh Rodly Fadly

PASUKAN Kedah akan terus memperagakan corak permainan ala ‘tiki-taka’ kerana ia terbukti serasi, berkesan serta menjadi kunci kejayaan kepada pasukan itu.

Malah jurulatih Ramon Marcote akan mempertahankan falsafah bola sepak yang menggabungkan penguasaan bola dan serangan itu kerana yakin ia mampu membawa Helang Merah terbang lebih tinggi.

“Saya membawa corak permainan ini dalam pasukan Kedah kerana inilah gaya yang kami pertahankan di Sepanyol serta membawa pelbagai kejayaan.

“Ia adalah gaya permainan yang saya yakini serta lakukan dalam latihan setiap hari. Malah sejak tahun 2015, Kedah menikmati kejayaan dengan cara ini.

“Tetapi untuk menerapkan corak permainan sebegini, pasukan memerlukan pemain yang betul secara teknikal dan taktikal.

“Semua orang perlu faham bahawa sejak awal musim, kami berdepan kesukaran kerana masalah kecederaan serta penggantungan yang menghalang kami memiliki keseluruhan pasukan.

“Bila anda kehilangan ramai pemain utama, keadaan menjadi sukar. Dalam semua perlawanan setakat ini, belum sekali pun kami dapat menurunkan kelima-lima pemain import secara serentak. Itu belum ditambah dengan kecederaan atau masalah kesihatan dialami pemain utama tempatan,” kata Marcote.

Marcote menjelaskan situasi itu memaksa beliau mempertaruhkan pemain muda yang ternyata masih memerlukan masa untuk menyerap konsep permainan sebenar pasukan itu.

Justeru, Marcote tidak bersetuju dengan pandangan segelintir penyokong yang mendakwa dia mengubah corak permainan Kedah sehingga hilang identiti mereka yang terkenal dengan konsep ala tiki-taka.

“Jika ada yang mengatakan saya mahu mengubah gaya kami, mereka silap. Saya yang membawa idea permainan ini kepada Kedah pada tahun 2015, jadi mana mungkin saya pula mahu menukarnya.

“Saya mengaku, setakat ini kami belum mencapai corak permainan yang kami mahukan namun pemain bekerja keras untuk menjadikan ia lebih baik setiap hari. Saya yakin ia akan dicapai, penyokong perlu bersabar,” kata Marcote.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 2:56pm
d